Select your language

100 Persoalan Mengenai Pemindahan Darah

Penulis
Wan Haslindawani Wan Mahmood

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2015. 103 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Oslen Dinagge Mosiun, Latihan industri, UiTM, Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Pemindahan atau transfusi darah merupakan satu proses pemindahan darah atau komponennya daripada seseorang yang sihat kepada orang lain yang memerlukannya. Namun, kehidupan masyarakat pada masa kini tidak mengambil berat tentang kepentingan pendermaan dan pemindahan darah.

Penulis buku ini merupakan seorang Pensyarah Kanan dan Pakar Perubatan Hematologi di Jabatan Hematologi dan Unit Perubatan Transfusi, Hospital Universiti Sains Malaysia. Beliau berkhidmat dalam bidang hematologi semenjak 2001 dan mula berkhidmat sebagai Pensyarah dan Pakar Perubatan pada tahun 2005 dengan pengkhususan hematologi dan perubatan transfusi. Beliau bergerak aktif dan banyak melibatkan diri dalam kajian penderma dan pendermaan darah sejak tahun 2005 lagi.

Buku bertajuk 100 Persoalan Mengenai Pemindahan Darah ini membentangkan 7 topik besar yang mengandungi 100 soalan mengenai pemindahan darah. Setiap siri persoalan yang kerap disuarakan oleh pesakit telah dijawab dengan terperinci disertai dengan gambar berwarna dan ilustrasi singkat yang mudah difahami oleh pembaca. Gaya penulisan sangat mudah difahami dan disertakan dengan penerangan yang berstruktur supaya pembaca lebih memahami proses sebenar yang perlu dijalani oleh pesakit. Buku ini sangat sesuai dibaca oleh pegawai perubatan, jururawat, pelajar dalam jurusan hematologi dan semua masyarakat untuk memanfaatkan ilmu dari buku ini.

Isi kandungan buku ini merangkumi persoalan awal tentang pemindahan darah dan kepentingannya. Menurut penulis, kepentingan pemindahan darah ialah memastikan sistem peredaran darah dapat berfungsi dengan baik selepas mengalami gangguan disebabkan oleh kekurangan dan kehilangan darah. Selain itu, isu berkaitan penderma darah turut dikupas. Syarat-syarat atau kriteria kelayakan untuk menderma darah mestilah dipatuhi sebelum pendermaan darah dilakukan.

Dalam bab yang keempat, penulis menjawab isu mengenai “Adakah pemindahan darah itu satu kemestian?”. Tujuan utama rawatan adalah untuk menyembuhkan dan menyelamatkan nyawa pesakit, pelbagai rawatan wujud selain daripada pemindahan darah. Walaubagaimanapun, pemindahan darah akan menjadi rawatan utama sekiranya semua usaha tidak berjaya mengatasi masalah kekurangan darah. Pemindahan darah perlu untuk menyelamatkan nyawa seseorang yang mengalami kehilangan atau kekurangan darah yang banyak jika tiada lagi pilihan lain untuk mengatasi kehilangan dan kekurangan darah pesakit.

Buku ini sangat bermanfaat kepada masyarakat umum khususnya mereka yang ingin menambahkan pengetahuan mengenai pemindahan darah. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan atau pinjaman.

 

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Cuma perlu satu buku untuk jatuh cinta pada membaca. Cari buku itu. Mari jatuh cinta."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.