Select your language

Ayam Kampung

Penyunting
Dr. Hassan Noor dan Amalina Razali

Terbitan
KKuala Lumpur: Synergy Media. 208 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Oslen Dinagge Mosiun, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Ayam kampung adalah istilah yang diberikan kepada ayam yang dipelihara secara lepas atau bebas. Kebiasaannya, ayam ini dipelihara di kawasan luar bandar atau kawasan perkampungan. Nama saintifik bagi ayam kampung ialah Gallus domesticus. Ayam kampung mempunyai beberapa rumpun dengan ciri-ciri morfologi yang khas. Sehingga kini, telah dikenalpasti terdapat sebanyak 31 jenis ayam tempatan.    

Buku ini menjelaskan dengan terperinci mengenai panduan penternakan ayam kampung bermula daripada asal-usul ayam kampung sehingga kepada olahan produk dan masakan yang boleh dihasilkan daripada telur dan daging ayam kampung. Dikatakan dalam penulisan sejarah ayam kampung adalah keturunan ayam hutan yang pada asalnya ditangkap untuk dijadikan ayam sabung. Perkembangan penjinakan dan pemeliharaannya bermula dari China sehingga akhirnya memasuki Nusantara dan berkembang menjadi ayam tempatan dengan variasi genetik.

Buku ini juga ada menyelitkan ruangan untuk pembaca mengetahui sistem penternakan yang sesuai dilaksanakan untuk mengendalikan penternakan ayam kampung. Menurut buku ini, terdapat 3 sistem penternakan ayam kampung iaitu ekstensif, semi intensif dan intensif. Selain itu, turut dimuatkan maklumat mengenai syarat lokasi ladang, reban, pengudaraan, peralatan pembersihan dan tempat makan dan minum yang sesuai dalam penternakan ayam kampung. Selain mengetengahkan panduan penternakan ayam, buku ini juga menampilkan maklumat terperinci mengenai nutrisi yang diperlukan oleh ayam kampung pedaging dan petelur.

Aktiviti penternakan ayam kampung kini telah dikomersialkan dengan cara moden melibatkan pelaburan yang besar dan bertaraf industri. Walaubagaimanapun, perkembangan penternakan ayam kampung ini mewajibkan semua penternak untuk mengetahui kaedah dan teknik pengurusan kesihatan ayam kampung. Buku ini turut membincangkan tentang teknik pengurusan kesihatan ayam kampung seperti konsep biosekuriti, vaksinasi dan antibiotik untuk mencegah terjadinya wabak penyakit. Jenis-jenis penyakit ayam kampung, punca dan cara mengatasi turut dikongsikan dalam buku ini.

Menariknya, terdapat 4 topik dalam buku ini memberikan inspirasi kepada pembaca seperti olahan produk dari daging dan ayam kampung yang dapat meningkatkan nilai jualan, beberapa resepi hidangan ayam kampung ala Nusantara dan luar negara yang menyelerakan, pendapat pakar dalam memajukan penternakan ayam kampung dan akhir sekali inspirasi dan kejayaan agropreneur yang pastinya akan menyuntik semangat setiap individu yang meminati bidang penternakan ayam kampung.

Buku ini amat sesuai dibaca oleh usahawan penternak ayam kampung sebagai rujukan kerana buku ini mempunyai panduan yang lengkap, menarik dan mudah difahami. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Walaubagaimanapun, buku-buku ini berkemungkinan mengambil masa untuk dihantar ke luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.