A- A A+

Bobolian: Seni Teater Etnik Dusun

Penulis
Marlenny Deenerwan

Terbitan
Jabatan  Kebudayaan dan Kesenian Negara, 2014. 81 Muka Surat

 

Ulasan oleh Dr. Colonius Bin Atang, Program Geografi, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS

Buku bertajuk ‘Bobolian: Seni Teater Etnik Dusun’ ditulis oleh seorang penulis berbakat kelahiran Sabah, juga merupakan anak jati Tambunan. Buku ini merupakan satu garapan ilmiah tentang ritual Bobolian yang menjadi amalan masyarakat Dusun tetapi dikupas dari satu sudut pandang yang berbeza daripada konsep asal ritual Bobolian. Kupasan oleh penulis terbahagi kepada 7 bab dengan 3 tema utama yang telah diketengahkan. Pertama, penulis mengupas tentang latar belakang masyarakat dusun, asal-usul istilah Kadazan dan sistem dalam sosiobudaya masyarakat Kadazandusun. Tema kedua yang menunjangi perbincangan buku ini ialah kupasan tentang hubungan Bobolian dengan komuniti Kadazandusun secara amnya. Selain itu, penulis membawa pembaca  untuk memahami tentang konsep dan asal usul Bobolian serta peranan dan fungsinya kepada komuniti Kadazandusun secara lebih terperinci. 

Namun begitu, keghairahan penulis mengupas kedua-dua tema ini secara panjang lebar menyebabkan pembaca ternanti-nanti inti pati utama yang ingin disampaikan oleh penulis iaitu tentang Bobolian dari perspektif seni teater dan persembahan. Terhasilnya buku ini merupakan satu percubaan berani oleh penulis mempersembahkan karya menyongsang arus tentang Bobolian kerana melihatnya secara berbeza iaitu sebagai suatu kesenian dalam masyarakat Dusun berbanding fungsi dan peranan sebenar Bobolian iaitu sebagai ketua ritual yang mempunyai status yang tinggi dalam komuniti Dusun di negeri Sabah. 

Seterusnya, penulis juga membincangkan tentang asal usul etnik Dusun dari dua pemahaman oleh para sarjana. Pertama, mengupas dari perspektif sumber lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain iaitu menyatakan etnik Dusun berasal dari sepohon pokok ara berwarna merah yang disebut sebagai ‘Nunuk Ragang’.  Kewujudan etnik Dusun di sekitar Nunuk Ragang dikaitkan dengan pelbagai cerita magis umpamanya nenek moyang etnik ini berasal dari bayi yang ditemui oleh seekor ayam jantan sakti semasa mengais-ngais tanah untuk mencari makan. Masyarakat dusun mempercayai lokasi pohon ‘Nunuk Ragang’ tersebut terletak di kampung Balisok, Ranau.  Kedua, penulis membawa kita kepada satu penelitian asal usul Dusun secara lebih ilmiah iaitu dengan mengaitkan dengan teori-teori saintis sosial iaitu yang dikemukakan oleh sarjana antropologi yang mengatakan etnik Dusun ialah etnik yang bermigrasi dari selatan China.  Selain itu, etnik Dusun juga dikaitkan dengan keturunan Monggol yang bermigrasi sejak 250,000 tahun dahulu dari selatan China ke Kepulauan Borneo.

Seterusnya,  penulis memperdebatkan tentang istilah yang diguna pakai bagi mewakili etnik Dusun kerana pada peringkat awal iaitu semenjak catatan tentang etnik ini dibuat oleh penjajah British, hanya istilah Dusun yang digunakan. Buktinya perkataan Dusun telah dicatatkan dalam banci penduduk Sabah pada tahun 1891, manakala istilah Kadazan hanya wujud pada tahun 1960. Garapan perbincangan bahagian ini membawa kepada penerangan tentang asal usul kewujudan perkataan Kadazandusun bagi mewakili keseluruhan etnik Dusun di Sabah.

Sebelum perbincangan diteruskan kepada elemen-elemen teater dalam ritual Bobolian, sekali lagi penulis membawa pembaca untuk memahami tentang fungsi Bobolian dalam kalangan etnik Dusun. Turut dijelaskan oleh penulis ialah tentang asal-usul Bobolian, gelaran Bobolian mengikut kumpulan sub-etnik berdasarkan daerah asal Bobolian dan penjelasan tentang peralatan yang digunakan oleh Bobolian semasa menjalankan upacara. Bahagian ini penting sebagai bacaan umum bagi individu yang ingin memahami dan menjalankan kajian berkaitan tentang Bobolian. Setelah penulis menjelaskan tentang kepentingan Bobolian dalam masyarakat Dusun, terutamanya sebagai perantaraan untuk memohon penyertaan dan bantuan daripada 18 Kinorohingan semasa menjalankan sesuatu upacara seperti yang senaraikan oleh penulis dalam buku ini. Penyertaan Kinorohingan ini amat penting untuk memberi bantuan kepada etnik Dusun terutamanya bagi memulakan sebarang upacara seperti memohon penyembuhan penyakit, pembinaan rumah baru, pemburuan, penanaman padi  dan sebagainya. Huraian yang terperinci oleh penulis tentang amalan ritual Bobolian secara langsung memperlihatkan tentang terdapatnya elemen-elemen teater semasa upacara ritual dijalankan.

Penulis melihat penggunaan instrumen atau peralatan yang digunakan oleh Bobolian semasa menjalankan ritual sebagai elemen teater bagi menyokong kesempurnaan pelaksanaan ritual yang dijalankan. Instrumen seperti alat muzik, ayam jantan, beras, batang buluh yang juga disebut sebagai Randaih serta Gending atau segugus kepingan besi yang digunakan untuk menghasilkan bunyi-bunyian ialah instrumen utama yang perlu ada semasa ucapara Bobolian diadakan terutama untuk upacara pemujaan semangat padi. Keberanian penulis mendokumenkan ritual Bobolian dari aspek yang berbeza daripada kebiasaan,  diharapkan dapat mengangkat ritual Bobolian sebagai salah satu seni persembahan yang tidak kurang hebat seperti ritual Ulik Mayang dan Main Puteri yang merupakan ritual untuk menyembuhkan penyakit yang diamalkan di negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia tetapi kini diangkat menjadi seni persembahan tari dan teater yang terkenal.  Dalam buku ini penulis cuba merungkai dua jenis ritual Bobolian iaitu ritual Sumalud dan Rundukan yang merupakan masing-masing adalah upacara ritual berkaitan dengan pemujaan semangat padi dan upacara berhubung dengan kuasa ghaib untuk mengubati penyakit, menilik gangguan atau memohon kuasa ghaib bagi menghentikan gangguan kepada keluarga mahupun seisi kampung.

Secara literal penulis membingkaikan sifat upacara Bobolian daripada kedua-dua upacara tersebut dalam konteks teater. Dengan berpandukan teori dramatik yang menggariskan enam elemen dramatik iaitu watak, plot, idea, bahasa, muzik dan spektakular. Penulis berjaya membuktikan terdapat perkaitan rapat di antara sifat upacara Bobolian dengan elemen dramatik dalam seni teater.  Sebagai contoh dalam sesuatu seni teater, watak adalah elemen penting yang menghidupkan perjalanan sesuatu drama, tanpa watak drama tidak akan berlaku. Oleh itu,  penulis melihat Bobolian sebagai watak utama semasa menjalankan upacara. Dalam upacara Sumalud dan Rundukan, penulis menyifatkan Bobolian sebagai watak yang menghidupkan perjalanan upacara dengan mempamerkan aksi berdasarkan pengucapan mantera serta aksi berdasarkan plot semasa upacara dijalankan.  Berdasarkan penelitian menggunakan teori dramatik, didapati sifat upacara bobolian ini adalah senada dengan elemen-elemen seni teater.  Hal ini membolehkan upacara Bobolian juga boleh diangkat menjadi salah satu karya dalam bentuk seni persembahan iaitu teater atau lebih dikenali sebagai teater ritual. 

Selanjutnya, penulis melihat fungsi Bobolian adalah menyamai peranan shaman iaitu sebagai rujukan kepada perantaraan antara manusia dan alam ghaib. Shaman merupakan medium yang memperdengarkan suara Tuhan kepada masyarakat. Oleh itu, shaman perlu menjadi pelakon yang baik semasa menjalani ritual bersifat dramatik yang terhasil daripada manifestasi kuasa ghaib semasa berkomunikasi dengan shaman. Terdapat kostum khas, lantunan vokal dan emosi, situasi luar sedar dan mantera yang perlu ada serta digunakan oleh shaman semasa ritual. Hal ini sama seperti yang perlu dimiliki oleh Bobolian semasa menjalankan upacara ritual. Ini memperlihatkan elemen-elemen aktor ada dalam persediaan diri Bobolian  semasa upacara dijalankan. Kewujudan elemen aktor yang dibawa oleh Bobolian ini adalah amat sesuai diketengahkan sebagai tema dalam penghasilan karya seni teater ritual yang bersifat literal iaitu dengan tidak mengambil kira elemen spiritual sebaliknya hanya mengangkat elemen gerak tari, kostum, dialog dan instrumen sampingan sebagai sokongan kepada persembahan teater ritual berkonsepkan Bobolian.

Penulis membawa kita meneroka potensi upacara Bobolian sebagai teater ritual dengan membincangnya secara lebih kritikal bagi membuktikan keupayaan sifat-sifat upacara Bobolian dapat dijulang sebagai karya seni teater masyarakat Dusun. Secara keseluruhan, hasil karya ini adalah sesuai menjadi bahan bacaan umum terutamanya kepada penggiat seni teater di pelbagai peringkat institusi. Buku ini juga sesuai menjadi bacaan kepada masyarakat yang ingin tahu tentang amalan tradisi masyarakat Kadazandusun terutamanya berkaitan dengan ritual Bobolian.

Untuk informasi lebih lanjut tentang buku ini, sila layari laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.  Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Pendapat anda mengenai laman web baru?

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.