A- A A+

Darah Penyambung Nyawa

Penulis
Noor Fadzilah Zulkifli & Ku Mastura Ku Mohd Noor

Terbitan
Nilai:  USIM Press,  2016.  244 muka surat.


 

Ulasan oleh Marja Azlima Omar, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

Buku bertajuk ‘Darah Penyambung Nyawa’ ini adalah sebuah buku ilmiah dalam bidang perubatan terbitan Universiti Sains Islam Malaysia. Secara umumnya, buku ini mengupas persoalan-persoalan penting berhubung perjalanan proses pendermaan darah. Perbincangan dalam buku ini merangkumi proses pendermaan darah, penyediaan komponen darah, peranan penderma darah, proses transfusi darah, komplikasi dan alternatif kepada transfusi darah serta bahan penganti darah. Buku ini turut mengupas permasalahan transfusi darah daripada perspektif Islam. Di samping menjadi panduan berguna kepada masyarakat berhubung isu ini, makalah ini juga sesuai untuk dijadikan rujukan utama kepada ahli akademik, penyelidik dan juga para pelajar bidang perubatan dan sains kesihatan di institusi-institusi pengajian tinggi.

Secara keseluruhannya, penulis telah membahagikan buku ini kepada sebelas bab. Kesemua sebelas bab tersebut mempunyai perkaitan rapat dan kesinambungan yang menarik bermula dari Bab Pertama sehinggalah ke bab yang terakhir iaitu Bab Kesebelas.

Sebagai permulaan, bab pertama memberi pengenalan terperinci mengenai darah dan komposisinya. Bab ini dimulakan dengan perbincangan mengenai sistem peredaran dan komponen utama darah. Bab ini seterusnya memperincikan fungsi-fungsi darah dalam tubuh manusia. Sebagai lanjutan kepada perbincangan, bab ini turut menyentuh kesan klinikal yang akan terjadi sekiranya seseorang itu menerima darah yang tidak normal. Secara dasarnya, bab pertama ini telah memberikan latar-belakang yang mantap bagi membolehkan pembaca memahami isi perbincangan dalam bab-bab seterusnya.

Bab kedua membincangkan penghasilan dan penguraian sel darah. Selepas memberi gambaran berhubung penghasilan sel darah merah, sel darah putih dan platelet dalam tubuh badan manusia, bab ini seterusnya menerangkan secara ringkas mekanisme penguraian sel darah. Sebagai rentetan kepada Bab Dua, Bab Tiga memperincikan jenis kumpulan darah manusia yang terbahagi kepada dua jenis kumpulan darah yang utama iaitu kumpulan darah ABO dan kumpulan darah resus (Rh). Selain daripada membincangkan konsep asas pengelasan jenis darah, perbincangan juga mencakupi kaedah untuk mengenali kumpulan darah. Bab ini mengandungi jadual dan gambarajah yang memberikan ilustrasi dan penerangan yang mantap untuk membantu pemahaman pembaca. Bab ini juga mencakupi perbincangan mengenai konsep asas & sejarah perkembangan transfusi darah, dan latar-belakang perkhidmatan tabung darah serta sejarah perkhidmatan tabung darah di Malaysia.

Bab keempat memberi penekanan yang khusus ke atas proses pendermaan darah. Isi kandungan bab ini memberi perincian berhubung garis-panduan pendermaan darah, kriteria penderma, keistimewaan penderma darah dan soalan-soalan lazim dalam proses pendermaan darah. Bab ini dimuatkan dengan ilustrasi gambar dan carta alir yang menarik untuk memantapkan kefahaman pembaca. Sebagai kesinambungan daripada Bab Empat, bab kelima memberikan pendedahan tentang penyediaan komponen darah sebagai proses lanjutan selepas pendermaan darah. Bab ini memberi penekanan ke atas kepentingan saringan jangkitan kuman ke atas semua darah yang didermakan. Saringan tersebut perlu dilakukan sebelum komponen darah yang terdiri daripada darah utuh, sel darah merah, platelet, plasma beku segar, kriopresipitat dan kriosupernatan disediakan melalui proses emparan.

Bermula dari Bab Enam sehinggalah Bab Kesebelas, perbincangan menjurus kepada transfusi darah dan isu serta permasalahan berhubung transfusi darah. Bab 6 memperincikan langkah-langkah dalam proses transfusi darah bermula daripada keputusan klinikal sehinggalah bermulanya prosedur transfusi darah. Bab Tujuh memberi maklumat dan kesedaran berhubung komplikasi dan jangkitan yang boleh terjadi semasa dan selepas transfusi darah dilakukan. Pelbagai variasi tindakan dan jangkitan dibincangkan secara terperinci dengan sokongan ilustrasi gambar serta gambarajah yang berkaitan. Alternatif kepada transfusi darah seperti penggunaan makanan tambahan dan hormon serta penggunaan cecair pengembang isi padu darah dibincangkan dalam Bab Lapan. Transfusi darah sendiri juga dipertimbangkan sebagai tambahan kepada alternatif yang sedia ada.

Bab Sembilan memberi tumpuan kepada transfusi darah autologous yang boleh dilaksanakan dalam tiga kaedah iaitu kaedah penyelamatan sel atau Perioperative Cell Salvage (PCS), kaedah pengumpulan awal darah autologus atau Pre-deposit Autologus Donation (PAD) dan kaedah hemodilution normovolumik akut atau Acute Normovolaemic Haemodilution (ANH). Bahan pengganti darah pula dibincangkan dalam Bab Sepuluh. Walaupun, pada dasarnya tidak ada bahan lain yang sama seperti darah. Terdapat dua bahan pengganti sel darah merah yang telah dicipta iaitu bahan berasaskan hemoglobin dan bahan berasaskan perfluorocarbon (PFC). Buku ini ditutup dengan bab sebelas yang membincangkan transfusi darah dari perspektif Islam yang secara tuntasnya menekankan bahawa menderma darah hukumnya harus.

Sebagai kesimpulan, buku ini dapat menjawab pelbagai persoalan yang timbul berkaitan pendermaan darah. Dengan kefahaman yang lebih mantap dan minda yang terbuka, masyarakat akan lebih prihatin dan kadar pendermaan darah akan meningkat dan seterusnya dapat membantu mereka yang memerlukan dan menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan Perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

 

Pendapat anda mengenai laman web baru?

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.