A- A A+

Ikan Air Tawar Di Semenanjung Malaysia

Penulis
A.K. Mohammad Mohsin dan Mohd. Azmi Ambak

Terbitan
KKuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015. 281 muka surat.

 


 

Ulasan oleh Turly Tony, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Buku yang bertajuk “Ikan Air Tawar di Semenanjung Malaysia” ini membincangkan 121 spesies ikan air tawar secara terperinci. Buku ini juga merupakan hasil kajian yang telah dijalankan selama lima tahun untuk memperkenalkan keadaan semula jadi, keluasan dan kekayaan fauna ikan yang terdapat di kawasan air tawar Semenanjung Malaysia. Kawasan kajian yang dipilih meliputi seluruh Semenanjung Malaysia termasuklah Pulau Langkawi dan Pulau Carey.

Pelbagai kaedah dan peralatan yang digunakan dalam kajian ini seperti jala, pukat rentang, pukat tiga lapis, pukat tarik dan perangkap ikan yang telah direka khas untuk menangkap ikan kecil di paya dan di parit. Manakala, formalin telah digunakan untuk mengawetkan ikan-ikan yang telah ditangkap. Setelah diawet, ikan-ikan ini dikatalogkan di Muzium Perikanan, Fakulti Perikanan dan Sains Samudera, Universiti Pertanian Malaysia. Bagi mengukur panjang ikan-ikan ini, ukuran piawai telah disediakan dan peralatan mengukur seperti angkup luncur dan pembaris keluli. Penulis telah menerangkan kaedah-kaedah mengukur ikan ini dengan cukup terperinci.

Spesies ikan yang berbeza-beza telah dipaparkan dari muka surat 26 hinggalah ke muka surat 195. Pelbagai spesies ikan boleh dilihat dan penulis juga telah menerangkan nama ikan, tempat ikan itu ditemui, habitat ikan dan jenis makanan yang terdapat dalam perut ikan. Malah, cara untuk mengenali ikan-ikan ini juga telah disediakan oleh penulis sebagai panduan untuk para pembaca untuk mengenal pasti spesies ikan- ikan ini.

Sebanyak 121 spesies ikan telah diterangkan secara terperinci oleh penulis dan bagi memudahkan para pembaca, gambar spesies ikan ini juga telah disediakan sama ada dalam bentuk berwarna dengan tidak berwarna. Daripada 382 spesies, sebanyak 121 spesies adalah jumlah ikan yang berjaya dikumpulkan dari seluruh pelosok Semenanjung Malaysia.

Penulis juga telah menyediakan jadual dimana senarai ikan air tawar di Semenanjung Malaysia berserta petunjuk tentang wujudnya juga ikan tersebut di beberapa tempat seperti India, Sumatera, Borneo, Thailand, China Selatan dan Indo-China. Dua jenis ikan air tawar Semenanjung Malaysia yang terdapat di kelima-lima negara ini seperti ikan Setipinna Swainson dan ikan Megalops Cyprinoides.

Perairan air tawar Semenanjung Malaysia dikategorikan kepada dua kumpulan persekitaran iaitu tenang atau lentik seperti anak sungai, sungai dan terusan pengairan. Manakala, mengalir atau lotik adalah tasik buatan manusia atau yang semula jadi, paya dan kawasan sawah padi.

Buku ini juga turut menjelaskan fungsi anak sungai dan sungai.  Sungai  terbahagi kepada beberapa zon iaitu zon atas, zon tengah dan zon bawah, yang kebanyakannya berasaskan kecerunan, morfometri dan halaju arus. Malah, mutu air dan fauna ikan yang terdapat di zon-zon ini juga telah diterangkan oleh penulis sebagai rujukan bagi para pembaca.

Buku ini juga menjelaskan asal usul dan perhubungan fauna ikan air tawar. Bagi para pembaca yang tidak mengetahui sejarah ikan air tawar bolehlah mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai fauna ikan air tawar dalam buku ini.

Buku ini juga turut mengupas mengenai cara pemuliharaan dan pengurusan ikan, kerana semakin banyak spesies ikan telah terancam akibat dari pencemaran dan bahan lodakan dari lombong serta pembukaan tanah. Malah, efluen dari kilang kelapa sawit juga telah mengakibatkan kadar mortaliti yang tinggi. Bagi mengatasi masalah ini, larangan bagi isu pencemaran seperti penggunaan bahan letupan dan akar tuba perlulah dikuatkuasakan.

Secara keseluruhannya, buku ini banyak memberikan rujukan dan panduan untuk mengenal pasti spesies-spesies ikan yang terdapat di negara Malaysia. Penulisan yang komprehensif ini amatlah diperlukan bagi ahli sains bidang penternakan, ahli ekologi, pelajar siswazah yang mengambil bidang perikanan atau bidang-bidang yang berkaitan dengannya dan bagi para pembaca yang bergelar “kaki pancing”. Indeks yang disediakan di muka surat terakhir buku ini juga dapat memudahkan para pembaca untuk mencari maklumat-maklumat yang berkenaan dalam masa yang singkat. Ilustrasi yang terdapat di dalam buku ini juga sangat membantu para pembaca khususnya dalam mengenal pasti spesies ikan yang diterangkan oleh penulis.

Oleh yang demikian, untuk mengetahui secara lanjut lagi mengenai buku ini, sila layari laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my  atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Walau bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu. Sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Pendapat anda mengenai laman web baru?

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.