Select your language

Kecurangan: Merungkai Persoalan, Mencari Penyelesaian

Penulis
Mohamed Yusoff Idris

Terbitan
Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015. 202 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Hafifi Hafidz Horace, Fakulti Pendidikan dan Psikologi, Universiti Malaysia Sabah.

Kecurangan, merupakan sebuah buku yang  boleh  menjadi panduan bagi membaiki atau menjelaskan persoalan serta membantu dalam menyelesaikan masalah yang sedang berlaku berlaku dalam suatu hubungan perkahwinan yang mulia. Buku ini mempunyai 7 bab secara keseluruhannya. Antara isu yang disentuh di dalam buku ini adalah mengapa kecurangan berlaku?, hubungan dan peranan suami isteri, mengapa pasangan curang?, menyingkap perkara yang dilakukan apabila pasangan curang, merungkai apa yang berlaku apabila kecurangan diketahui, mengulas bagaimana menyedari kecurangan, dan mencari penyelesaian untuk kembali kepada pasangan.

Dalam bab pertama memberikan huraian mengenai konsep kecurangan dalam hubungan perkahwinan. Kecurangan ditafsirkan sebagai suatu perbuatan yang keji, yang bersifat pemusnah dan hanya mengakibatkan penderitaan. Beberapa kesan utama diterangkan dalam topik ini bagi menjelaskan lagi kronologi berlakunya kecurangan dalam hubungan perkahwinan. Topik ini juga menjelaskan kepada pembaca bahawa kecurangan bukan lagi sesuatu yang baharu pada masa kini akan tetapi budaya tidak bermanfaat ini sudah lama berlaku sejak zaman prasejarah lagi. Kesinambungan yang akan berlaku apabila kecurangan dijadikan sebagai gaya hidup adalah hukuman yang menanti, penderitaan yang mendatang sama ada kepada diri pelaku atau ahli keluarganya, kemusnahan hubungan yang suci, dan kehilangan arah kehidupan. 

Menurut penulis, beberapa punca dan sebab kecurangan yang berlaku kadangkala berpunca daripada kekurangan dalam hubungan perkahwinan itu sendiri. Contohnya ialah kelalaian suami, kesefahaman antara kedua suami isteri, kebahagian dalam rumah tangga, serta masa dan kewangan dalam suatu institusi kekeluargaan itu sendiri. Maka, daripada punca dan sebab ini akan menjadilah satu titik mula bagi kecurangan yang berlaku jika tidak diatasi secepatnya.

Buku ini juga turut menghurai kronologi tanda-tanda awal kecurangan berlaku  Pelbagai tanda telah dijelaskan di topik ini yang dapat dijadikan sebagai senarai semak bagi mana-mana pasangan yang mungkin mengalami masalah ini. Seterusnya, penjelasan fakta mengenai statistik pasangan yang melakukan kecurangan iaitu sebanyak 50 sehingga 60 peratus di pihak lelaki dan 15 hingga 20 peratus suri rumah wanita turut dikatakan pernah terlibat dalam kecurangan turut didedahkan dalam topik  ini bagi menyedarkan semua insan di dunia ini betapa pentingnya untuk kita mengetahui bahawa gejala ini perlu dikurangkan. Sehubungan dengan itu, beberapa faktor luaran yang mempengaruhi turut dihuraikan seperti pengaruh media massa, budaya dalam kalangan artis sensasi dan juga para pemimpin yang akhirnya menjadikan satu kayu ukur kepada pasangan-pasangan yang lain untuk melakukan  budaya tidak beretika ini.

Seterusnya, dalam bab kedua menceritakan mengenai panduan suami dalam hubungan perkahwinan. Dalam hal ini menjelaskan bahawa suami merupakan seorang khalifah dan pemimpin yang sepatutnya mengetuai keluarga mereka serta mengingatkan untuk sentiasa menyayangi isteri dengan sepenuhnya. Antara cara yang difokuskan dalam buku ini adalah teknik komunikasi dengan isteri dan sikap berterus terang yang dituntut oleh agama dalam suatu hubungan perkahwinan itu.

Turut dibincangkan adalah panduan isteri dalam menyinarkan lagi hubungan suci perkahwinan. Dalam membina perhubungan yang bahagia, isteri merupakan tunjang utama dalam merealiasasikan misi ini.  Topik ini merungkaikan sikap-sikap isteri yang membawa kepada kemusnahan hubungan dan kriteria menjadi isteri yang terbaik di mata suami agar kecurangan tidak berlaku. Antara perkara penting yang ditekankan dalam topik ini ialah layanan isteri kepada suami, penampilan serta kepatuhan isteri kepada suami mengikut syarak dan tuntutan agama.

Sehubungan dengan itu, topik ini menekankan juga mengenai hubungan silaturrahim antara pasangan yang perlu dijaga. Penulis menekankan bahawa setiap insan yang dicipta Allah SWT. wajib mempunyai aturan dan peranan dalam perhubungannya. Maka dua perkara yang perlu diambil berat dalam hal ini adalah perhubungan antara manusia dengan pencipta-Nya dan perhubungan antara manusia dengan manusia yang lain, iaitu silaturrahim. Maka, kepentingan dan cara untuk menjaga silaturrahim dalam hubungan perkahwinan dihuraikan oleh penulis dalam bab ini bagi membantu pasangan yang inginkan kebahagiaan yang berpanjangan dalam perkahwinan mereka.  

Seterusnya, peranan wanita dalam perkahwinan turut memberikan impak yang besar dalam suatu perhubungan itu. Penulis turut menyatakan kronologi peranan wanita pada zaman Melayu tradisional sehingga kemunculan modenisme. Dalam menjalankan peranan wanita dalam keluarga, penulis menyingkap pula aspek etika isteri yang bekerja disamping menjalankan tanggungjawab dalam keluarga.  Etika yang dibincangkan dalam topik ini adalah cara pergaulan bagi mengelakkan kecurangan berlaku dan cara melengkapkan diri dengan kesopanan semasa bekerja bagi mengelakkan isu serta cabaran yang akan berlaku dalam pekerjaan.     

Pada akhir bab ini, dihuraikan pertimbangan yang waras perlu ada apabila berlaku kecurangan dalam hubungan. Penulis menceritakan situasi keadaan suami setelah mengetahui isteri yang melakukan kecurangan dan isteri yang yang mengetahui suami yang curang. Sehubungan dengan itu, muhasabah diri dalam kedua-dua pihak perlu ada untuk mencari penyelesaian bagi masalah ini.  Kekuatan dan kesabaran perlu ada di dalam diri bagi pasangan yang menghadapinya dan berdoa kepada Allah SWT. haruslah menjadi sandaran apabila musibah ini berlaku.

Bab tiga pula merungkaikan persoalan mengapa pasangan curang? Dalam topik ini penulis menyatakan terdapat pengaruh pihak ketiga yang menyebabkan pasangan berlaku curang dalam hubungan mereka. Dalang yang menjadi punca dalam keretakan hubungan perkahwinan ini dinyatakan bahawa terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pekerjaan. Hal ini menerangkan kepada pembaca bahawa kewujudan pihak ketiga ini bukan sahaja hadir dalam kalangan lelaki sahaja hatta dalam kalangan wanita juga wujud. Kecenderungan lelaki dan wanita yang curang juga dinyatakan dalam topik ini. 

Seterusnya, perubahan zaman turut mengubah tatacara kehidupan manusia pada masa kini. Lantaran kemajuan teknologi yang meledak menyebabkan manusia mula menyalahgunakannya. Tujuan berkomunikasi dan berhubung semasa manusia lain digunakan untuk berkenal-kenalan sehinggalah menimbulkan kecurangan.  Antara medan yang digunakan dalam melakukan perkara ini adalah laman sesawang, e-mel, chat rooms  dan  Facebook.  Maka penulis menyatakan berlakulah fenomena berkenalan di alam maya yang akhirnya membawa kepada ketagihan. 

Sehubungan dengan itu, beberapa perkara turut dinyatakan dalam bab ini iaitu berkenaan perubahan masa, suasana dan selera pasangan masing-masing. Hubungan perkahwinan yang dibina bertahun-tahun pastinya memerlukan sinar yang baru setelah sekian lama bersama-sama. Jika pada awalnya hubungan perkahwinan  penuh kemesraan dan keghairahan. Maka setelah beberapa tahun berlakulah perubahan dan penurunan kehangatannya. Ini merupakan satu perkara yang biasa. Maka penulis menyarankan beberapa perkara yang perlu diambil berat apabila berlakunya hal sedemikian agar sinar yang semakin kelam bercahaya semula. 

Tambahan lagi dalam hubungan yang berlaku kecurangan, faktor  peluang dan kesempatan telah disalah guna oleh pasangan itu. Hal ini dirungkaikan apabila berlakunya pasangan yang menggunakan peluang kebebasan yang diberi pasangan untuk melakukan aktiviti yang terkutuk.  Terdapat juga kesempatan yang digunakan dengan melakukan kecurangan sesama rakan baik pasangan itu sendiri. Maka berlakulah seribu satu alasan yang diberikan oleh pasangan yang berlaku curang. Oleh yang demikian, Islam menitik beratkan pergaulan mengikut syarak sesama manusia agar gejala tidak bermoral ini tidak terus menyelubungi masyarakat pada masa kini.

Topik ini juga turut membincangkan dorongan hawa nafsu menjadi punca pasangan melakukan kecurangan.  Fitrah manusia yang mempunyai hawa nafsu dan keinginan dalam diri  kadangkala menjadi punca berlakunya kecurangan ini. Antara perkara yang dinyatakan dalam perbincangan ini adalah isu perhubungan diluar batas tatasusila kemanusiaan yang akhirnya membawa kepada kemusnahan hubungan perkahwinan. Maka, topik ini menyatakan betapa peri pentingnya suami dan isteri menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam perhubungan kelamin agar hubungan yang dibina tidak terjejas.

Bab empat pula menerangkan situasi apabila pasangan curang kepada pembaca. Perhubungan yang wujud “secara tidak sengaja” seringkali berlaku dalam kecurangan pasangan.  Antara peribahasa yang digunakan dalam hal ini “perigi mencari timba”  dan “bermata keranjang”. Segala perbuatan dilakukan secara diam-diam dan rahsia. Topik  ini menjelaskan kepada masyarakat bahawa betapa rendahnya martabat dan integriti pasangan apabila mereka melakukan kecurangan kepada pasangan.

Selain itu, beberapa aspek sikap yang seringkali berlaku dalam kalangan  suami isteri seperti sikap cemburu, suami dayus, isteri nusyuz serta sikap tuduh menuduh ada dihuraikan dalam topik ini bagi menjelaskan kepada pembaca kesan dan impak yang akan berlaku dalam perhubungan perkahwinan jika tidak diatasi dengan sebaiknya.

Penulis juga ada menceritakan bagaimana punca pihak ketiga ini sangat besar dalam hubungan perkahwinan. Impak besar yang berlaku adalah jenayah cemburu atau crimes of passion. Penulis menyatakan perkara ini bukan sahaja memberikan kesan kepada pasangan tersebut malahan turut memberikan kesan kepada pihak yang lain iaitu anak-anak dan juga ibu bapa pasangan. Dalam situasi ini, maka terjadilah “dilema” dalam perasaan pasangan yang menghadapinya. Sikap sabar dan kewarasan amatlah perlu apabila situasi ini berlaku. Penulis juga ada menceritakan apabila pasangan berlaku curang, sebagai manusia yang mempercayai kewujudan qadha dan qadar seharusnya tabah semasa menghadapi ujian. Kesedaran bahawa kehidupan di dunia ini ialah satu cabaran amatlah perlu bagi menguatkan diri pasangan yang menghadapi perkara ini.  Kesinambungan itu, terdapat juga pasangan yang tetap berusaha untuk menyelesaikan perkara ini. Antaranya menggunakan  penyiasat peribadi. Hal ini tidaklah dikatakan salah oleh penulis. Akan tetapi dalam menggunakan khidmat menyiasat ini, pasangan hendaklah berhati-hati kerana kadangkala terdapat penyiasat peribadi yang hanya membutuhkan wang ringgit dan tidak membantu untuk persoalan yang dicari. Oleh yang demikian, pasangan hendaklah tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi apabila menggunakan penyiasat peribadi seperti yang diulas oleh penulis dalam buku ini.

Dalam bab enam menceritakan kepada pembaca keadaan apabila pasangan telah menyedari kecurangan. Bab ini menjawab persoalan bagi pasangan yang sedang butuh dalam penyelesaian masalah. Antara perkara yang ditulis dalam bab ini adalah sikap menahan marah dan perkara yang boleh dilakukan untuk penyejuk jiwa. Penulis menyatakan kemarahan boleh menjadi suatu perkara yang memudaratkan kepada diri sendiri. Bukan sahaja kepada emosi malahan kepada kesihatan diri sendiri. Oleh itu, penulis turut menyarankan beberapa perkara yang boleh diaplikasikan bagi menjaga diri yang telah dilukai.

Penggunaan khidmat penasihat ataupun kaunselor disarankan oleh penulis agar pasangan yang menghadapi keadaan sukar ini dapat mengikuti sesi kaunseling. Hal ini bagi membantu meredakan suasana tegang dan bagi menyelamatkan hubungan perkahwinan yang dikatakan bagai dihujung tanduk. Tambahan lagi, perkara yang perlu dilakukan dalam menyelesaikan masalah kecurangan ini ialah memutuskan hubungan curang tersebut.  Setiap pasangan perlunya sedar mengenai tanggungjawab masing-masing dalam keluarga.

Bab ketujuh menjelaskan kepada pembaca mengenai keadaan apabila kembali kepada pasangan. Penulis menjelaskan penyelesaian terakhir yang seringkali dipilih oleh pasangan yang menghadapi masalah kecurangan iaitu penceraian. Kesan penceraian ini juga memberikan impak kepada anak-anak. Oleh itu, penulis menghuraikan beberapa perkara yang perlu dilakukan agar anak-anak tidak diabaikan.

Secara ringkasnya, buku ini sememangnya membawa banyak faedah dan manfaat kepada para pembaca. Penulisannya yang berbentuk penceritaan memudahkan pembaca untuk memahaminya dengan lebih mudah. Buku ini juga sesuai kepada pasangan yang baru sahaja ingin membina hubungan perkahwinan atau kepada pasangan yang  berada dalam dilema kecurangan agar dapat memilih penyelesaian yang sebaiknya. Penceritaan yang mengaitkan hadis-hadis dan juga pandangan daripada aspek agama islam amat sesuai untuk pembaca amalkan dan jadikan sebagai iktibar. Maka untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai buku ini, silalah lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.gov.my atau hubungi talian 088-231623,214828 atau 256192 untuk ketersediaan buku tersebut.

 

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.