Select your language

Kejayaan Tanpa Noktah

Penulis
Abd. Rahman Abd. Hamid

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 2011. 115 Muka Surat.

 

Ulasan oleh Clare Lieanna Jupili, Pelatih Industri, UiTM Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Buku berjudul 'Kejayaan Tanpa Noktah' ialah kesinambungan daripada buku nukilan penulis sebelum ini yang bertajuk Mengurus Masa Depan: Jadikan Impian Satu Realiti. Penulis buku ini merupakan seorang bekas Ketua Pengarah Kastam yang sangat berkaliber dan berpengalaman luas dalam selok-belok pengurusan organisasi. Pengalaman selama 34 tahun cukup memberi pendedahan kepada beliau untuk memahami bidang perdagangan, perkilangan dan perniagaan. Dato’ Sri Haji Abd. Rahman Abd. Hamid, telah mengongsikan pengalaman beliau dalam menguruskan pekerja-pekerja di bawahnya. Beliau telah memperincikan setiap pengalaman yang dimiliki beliau dalam beberapa bab tertentu dalam buku yang mempunyai 13 bab ini.

Pada awal bab, penulis membincangkan dengan jelas mengenai usaha yang perlu ada dalam diri individu yang ingin berjaya. Perdekatan tersebut dinamakan konsep 4D iaitu Direction, Dedication, Determination dan Discipline.  Konsep ini penting untuk menunjukkan kemajuan sesuatu gerak kerja ke arah kejayaan. Aspek-aspek tersebut telah diterangkan secara terperinci dalam bab ini.

Dalam bab 2, perihal meraikan sesuatu kejayaan tidak dinafikan kepentingannya sebagai pembakar semangat kepada pekerja untuk terus berusaha dengan lebih gigih. Namun begitu, penulis menegaskan bahawa meraikan sesuatu kejayaan perlu berpada-pada dan tidak perlu terlalu berlebih-lebihan. Penulis menyatakan implikasi yang berlaku, sekiranya pemimpin memberi penghargaan kepada individu yang tidak menyumbang kepada kejayaan organisasi. Keputusan ini akan menyebabkan ada pekerja yang akan menzahirkan perasaan tidak puas hati dan tidak wujud kerjasama antara anggota organisasi. Lebih buruk lagi, kesilapan ini memberi petunjuk kepada para pekerja bahawa pemimpin tidak tahu akan hal yang berlaku dalam organisasi. Hal ini kemudian mendorong kepada merosotnya prestasi dan komitmen pekerja dalam melaksanakan tugas.

Antara intipati penting buku ini ialah penulis menyeru para pemimpin untuk mengutamakan kepentingan pembangunan modal insan yang mapan. Bagi memenuhi keperluan sumber manusia abad ke-21, pemimpin perlu memastikan modal insan mahir dalam bidang teknologi maklumat dan perkhidmatan sebagai satu bentuk ekonomi baharu. Namun begitu, penguasaan secara efektif dalam bidang ini memerlukan keperluan individu-individu yang memiliki 3 elemen holistik dalam diri iaitu kecemerlangan rohani, kecemerlangan emosi dan kecemerlangan intelektual. Wujudnya elemen tersebut membolehkan seseorang untuk menyerlahkan lagi kepintaran, idea, bakat, inovasi dan pengetahuan tanpa batasan untuk menjadi penggerak ekonomi dunia masa kini.

Pemimpin yang berjaya menyemai 3 elemen berikut dalam diri pekerjanya akan mampu melahirkan Pekerja Kolar Emas dalam organisasi. Penulis juga ada menyentuh mengenai pentingnya ilmu pengetahuan untuk mencipta kejayaan. Penulis berkongsi pengalamannya menyediakan Pelan Pembangunan Pekerja Kolar Emas dalam organisasinya sebelum ini. Program Kluster Pekerja Kolar Emas ini merangkumi kegiatan yang mendedahkan diri pegawai tersebut untuk terlibat secara aktif dalam seminar dan mesyuarat antarabangsa. Hal ini demikian memberi peluang kepada pegawai tersebut untuk mempraktikkan pengetahuan dan amalan-amalan positif yang dipelajari dalam menguruskan organisasi.

Apa yang menarik mengenai isi kandungan buku ini ialah penulis membawa pembaca untuk melakukan anjakan paradigma dengan memberi pendedahan kepada para pembaca mengenai peluang luas yang ada untuk diterokai. Penulis telah menerangkan secara terperinci mengenai petikan daripada pengasas idea “Blue Ocean Strategy” iaitu Prof. W. Chan Kim. Beliau menggambarkan Sungai Merah yang sempit dan sumber yang terhad sebagai gambaran peluang dan potensi yang ada dalam sektor ekonomi perkilangan dan pembuatan. Seperti yang kita ketahui, ekonomi berasaskan pengeluaran dan pengilangan adalah ekonomi terdahulu yang mula ditinggalkan kerana persaingan yang terlalu sengit dan sumber yang makin berkurangan. Namun begitu dari sisi lain, strategi lautan biru yang dijelaskan dalam buku ini membuka minda pembaca untuk meneroka Samudera Biru yang lebih luas, dalam, dan airnya yang jernih. Samudera Biru ini digambarkan sebagai ekonomi abad ke-21, iaitu Teknologi Maklumat dan Perkhidmatan sebagai ekonomi baharu yang sangat luas. Situasi ini memaparkan cabaran dan nikmat yang bakal ditempuh oleh pemimpin sekiranya mahu menempah sebuah kejayaan.

Kesimpulannya, buku ini sarat dengan informasi berguna yang mampu menjadi peransang semangat dan motivasi kepada individu yang menginginkan kejayaan. Selain itu, buku ini sesuai menjadi rujukan para Pegawai Awam untuk mengurus organisasi dengan lebih baik. Hal ini adalah kerana setiap perkara dijelaskan berserta situasi sebenar yang dilalui penulis. Meskipun buku ini tidak mempunyai ilustrasi namun penggunaan bahasa yang formal dan berstruktur, memudahkan lagi kefahaman pembaca. Indeks dan bibliografi turut diberikan bagi memudahkan pencarian maklumat dan rujukan pembaca.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai buku ini anda boleh mendapatkannya di Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.