Select your language

Kesihatan Wanita

Penulis
Intan Idiana Hassan & Nik Hazlina Nik Hussain

Terbitan
Dewan Bahasa Dan Pustaka
81 muka surat.

 

Ulasan oleh Dr. Harifah Mohd Noor, Universiti Malaysia Sabah

Kacip Fatimah ialah sejenis tumbuhan yang begitu sinonim di kalangan kaum wanita kerana peranannya sebagai pemeliharaan kesihatan. Namun tidak ramai yang mengetahui tentang khasiat dan penggunaan hasil produk Kacip Fatimah ini.  Buku yang bertajuk ‘Kesihatan Wanita:  Kenapa Kacip Fatimah’ memperjelaskan segala keistimewaan tumbuhan ini.

Buku yang mengandungi lima bab ini mengupas kepelbagaian fungsi dan peranan Kacip Fatimah.  Bab pertama dimulai dengan pengenalan terhadap tumbuhan Kacip Fatimah.  Penulis menerangkan ciri-ciri, jenis, saiz dan warna tumbuhan berkenaan yang hidup subur dalam taburan Hutan Hujan Tropika. Ianya boleh didapati sama ada melalui pertumbuhan semula jadi, penanaman di rumah atau perladangan.

>Keistimewaan Kacip Fatimah dijelaskan secara mendalam dalam bab dua.  Penemuan khasiat Kacip Fatimah bermula menerusi ilmu dan pengetahuan yang diwarisi sejak turun temurun, dan diamalkan oleh pengamal perubatan tradisional Melayu.  Walaupun khasiat Kacip Fatimah dikenali sebagai pemuliharaan kesihatan wanita,  namun ianya juga sesuai untuk kesihatan kaum lelaki khususnya dalam mengekal dan meningkatkan stamina mereka.  Khasiat Kacip Fatimah turut memberi manfaat kepada bayi dan kanak-kanak sebagai rawatan luar mengatasi kembung perut.

Kepelbagaian penggunaan tumbuhan Kacip Fatimah diperjelaskan menerusi bab tiga.  Secara tradisinya, Kacip Fatimah direbus dan diminum begitu sahaja bagi mendapatkan kesan yang lebih mujarab atau sebagai  majun khusus bagi para ibu yang baru bersalin.  Namun dengan kemajuan penyelidikan terkini, Kacip Fatimah boleh didapati dalam pelbagai bentuk produk.

 Khasiat Kacip Fatimah dari sudut sains dinyatakan dalam bab seterusnya.  Kajian saintifik membuktikan kandungan Kacip Fatimah mengandungi phytoestrogen, zat besi, antiradang dan antibakteria yang sangat bermanfaat sebagai penyembuhan terutamanya kepada para ibu selepas bersalin. Khasiatnya juga  sebagai agen antipenuaan, meningkatkan tenaga batin dan mengurangkan gejala menopaus.

Pengakhiran bab buku ini menerangkan penyediaan, pemprosesan dan pengkomersialan produk Kacip Fatimah secara moden. Produk Kacip Fatimah berjaya dipasarkan di seluruh dunia dalam bentuk kapsul, di dalam tin minuman dan jus kordial yang boleh didapati sama ada di farmasi, kedai, pengamal perubatan tradisional atau pengedar. 

Buku ini menyentuh pelbagai perkara berkenaan tumbuhan kacip fatimah, termasuk khasiat dan proses pengeluarannya.  Penulis sebagai penyelidik tumbuhan ini berjaya meyakinkan pembaca bahawa produk Kacip Fatimah terbukti berkhasiat dalam pelbagai keperluan kesihatan. Kelebihan Kacip Fatimah telah disampaikan melalui bahasa yang mudah serta ilustrasi yang menarik.

Oleh yang demikian,  untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya,  sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan Perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.