Select your language

Kontrak Dalam Sektor Pembinaan

Penulis
Aminah MD Yusof

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2017. 163 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Oslen Dinagge Mosiun, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Buku bertajuk “Kontrak Dalam Sektor Pembinaan” ini memberikan maklumat tentang konsep asas kontrak dan amalan praktis kontrak projek kerajaan dalam industri pembinaan di Malaysia. Perbincangan dalam buku ini lebih tertumpu pada hal tender dan kontrak sektor awam. Hal ini disebabkan hanya sektor awam yang mempunyai tatacara dan peraturan yang didokumenkan.

Bagi menyampaikan pengetahuan penting dalam kontrak pembinaan, buku ini dibahagikan kepada 6 Bab.  Setiap bab diakhiri dengan rumusan yang meringkaskan isi-isi penting dalam bab tersebut. Selain itu, untuk membantu pemahaman pembaca, penulis telah menyenaraikan singkatan beserta maksud dalam industri pembinaan yang digunakan dalam penulisannya.

Buku ini padat dengan maklumat penting mengenai sektor pembinaan dan disokong oleh huraian isi penting setiap topik dikembangkan daripada maklumat yang general kepada maklumat yang lebih spesifik. Buku ini dimulakan dengan penerangan tentang industri pembinaan di Malaysia, seterusnya menjelaskan perihal prinsip dan kepentingan kontrak dalam proses pembinaan pada bab yang kedua.

Bab 3 pula membincangkan proses tender dengan lebih terperinci.  Penulis mengupas proses menender bermula dengan penyediaan dokumen sehingga proses penilaian dan pemilihan kontraktor.  Seterusnya, jenis-jenis dan kaedah tender beserta prosedur tender diterangkan dalam Bab 4.  Antara kaedah tender yang dijelaskan oleh penulis ialah kaedah pertandingan, perundingan dan hibrid. Jenis-jenis tender yang lazim diamalkan seperti Tender Terbuka, Tender Terhad, Tender Prakelayakan dan Tender Perundingan turut dijelaskan oleh penulis dengan lebih terperinci.

Penerbitan buku ini sangat bertepatan dengan perkembangan dan pembangunan industri pembinaan di Malaysia yang sering menjadi perbualan masyarakat terutamanya dalam kalangan usahawan yang berkecimpung dalam bidang pembinaan. Menariknya, kontrak pembinaan yang digunakan dalam menjalankan projek pembinaan dibincangkan dalam Bab 5. Penulis memberikan penjelasan lanjut mengenai beberapa jenis kontrak yang lazim dipraktikan dalam pengurusan kontrak pembinaan di Malaysia. Kontrak pembinaan turut dibezakan secara teori dan praktis oleh penulis.

Dalam bab yang terakhir iaitu bab yang keenam, penulis membincangkan maklumat penting berkaitan dengan pentadbiran kontrak yang digunakan dalam menjalankan projek kerajaan. Penekanan kepada beberapa isu penting seperti bidang kuasa pegawai penguasa, syarat-syarat utama sesuatu kontrak dan akhir sekali pemantauan kerja-kerja pembinaan. Kegagalan mana-mana pihak dalam kontrak akan menimbulkan kesulitan dan boleh mengundang tindakan undang-undang. Penulis turut mengongsikan beberapa isu dalam sektor pembinaan dan cara menangani isu tersebut turut dikupas dengan jelas. Antara isu yang dibincangkan seperti isu penamatan kontrak dan perubahan kerja. 

Buku ini amat sesuai dibaca oleh individu yang baru atau sedang berkecimpung dalam bidang pembinaan dan juga masyarakat umum yang ingin menambahkan pengetahuan dalam sektor pembinaan. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi mengenai buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Walaubagaimanapun, buku-buku ini berkemungkinan mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.