Select your language

Lembu Daging Dan Lembu Tenusu

Penyunting
Dr. Hassan Noor,  Nor Hanis Hashim

Terbitan
Kuala Lumpur: SAM Synergy Media Sdn. Bhd. dengan Kerjasama Penebar Swadaya Grup. 206 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Turly Tony, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Di Malaysia, penternakan lembu sudah menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat di mana penternakan lembu ini telah lama dijalankan secara berskala kecil atau berskala besar oleh penternak. Penternakan lembu sememangnya menjadi sumber pendapatan yang lumayan bagi penternak atau perniagaan tani lembu daging dan lembu tenusu.

Buku bertajuk  “Lembu Daging dan Lembu Tenusu” mengandungi huraian, analisis, dan kajian kes ke atas komoditi lembu daging dan lembu tenusu. Buku ini ditulis bagi membantu para penternak cara untuk meningkatkan produk penghasilan daging dan susu. Buku ini juga diselitkan pandangan para pakar, inspirasi dan kejayaan agropreneur yang mengalami kisah duka dalam menceburkan diri dalam projek agropreneur. 

Apa yang menarik tentang buku ini ialah penulis telah merungkai sejarah asal-usul keturunan lembu ini, agar pembaca dapat memahami asal-usul baka lembu yang terdapat di negara Malaysia dan negara luar contohnya,  spesies baka Braford, Brahman, Sahiwal, Friesian Holstein dan sebagainya.

Penternakan lembu sememangnya memberikan hasil peluang yang lumayan. Penulis telah memberikan beberapa faktor kejayaan yang membawa peluang cerah kepada para pengusaha penternak lembu seperti, strategi pemasaran dan sumber makanan bagi meningkatkan mutu keluaran lembu daging dan lembu tenusu . Buku ini sememangnya sangat baik untuk dijadikan rujukan kepada para pengusaha dan usahawaan yang ingin menginovasikan kualiti produk lembu yang bermutu tinggi. 

Buku ini turut memberikan panduan yang disarankan oleh penulis kepada para penternak dari segi reka bentuk kandang yang sesuai.  Ini bertujuan untuk mendapatkan tempat tinggal yang selamat, kesihatan lembu terjamin dan pengoptimuman pengeluaran, penyediaan tempat makanan dan minuman.  Peralatan adalah sangat penting dalam pengurusan persekitaran penternakan lembu, supaya persekitaran bersih dan terjaga. Kandungan daripada buku ini dapat membantu para penternak cara pengurusan lembu daging dan lembu tenusu yang betul dan sistematik.

Penjelasan buku ini turut menerangkan aspek keperluan nutrisi lembu daging dan lembu tenusu, iaitu bergantung yang kepada berat dan fasa pertumbuhan pembiakan dan tahap pertumbuhan.  Contohnya, bagi lembu daging pengeluaran prima diukur dengan pertambahan berat yang cepat manakala, lembu tenusu pula diukur oleh pengeluaran susu yang tinggi. Penggredan dari segi aspek skor  kerangka, otot dan tubuh dihuraikan secara ringkas oleh penulis. Selain itu, pengendalian najis juga dibincangkan dalam buku ini dengan menjelaskan beberapa kaedah pengolahan sistem najis terbuka dan sistem tertutup.

Dalam buku ini juga ada menyelitkan beberapa resepi dan tip-tip cara penyediaan hidangan kulinari daging tempatan dan daging antarabangsa serta memuatkan illustrasi yang menarik bagi pengemar pembaca buku. Terdapat jadual yang mengandungi pelbagai maklumat seperti analisis ekonomi penternakan lembu daging dan analisis kewangan penternakan lembu daging dan sebagainya.

Kelebihan buku ini ialah banyak memberikan maklumat khusus tentang lembu daging dan lembu tenusu khususnya telah mengupas teknik pemerahan susu di luar negara seperti Idaho, Amerika Syarikat yang menggunakan sistem automatik, manakala bagi program pembiakan adalah menggunakan kaedah bioteknologi pembiakan yang menggunakan permanian beradas. Penulis telah menjelaskan manfaat, kelebihan dan halangan pemindahan embrio yang melibatkan beberapa proses.

Kesimpulannya, buku ini amat sesuai dijadikan bahan rujukan kepada para pembaca, penternak, pengkaji lembu daging dan lembu tenusu, ataupun di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mengambil jurusan veterinar. Buku ini juga dapat memberi inspirasi kepada golongan usahawan yang ingin mengembangkan lagi produk lembu di peringkat antarabangsa. Buku ini sangat baik untuk dibaca kerana isinya padat dan ringkas membolehkan pembaca terus faham dan mengaplikasikannya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kandungan buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov.my atau menghubungi 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Walau bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk di hantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu. Sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku dan pintu adalah hal yang sama. Kamu membukanya dan kamu pergi ke dunia lain."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.