Select your language

Makanan Hidup Untuk Ikan

Penulis
Siti Norita Mohamad & Siti Azamah Mustapha

Terbitan
Dewan Bahasa Dan Pustaka
82 muka surat.

 ulasan oleh Mahat Jamal Program Komunikasi Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan Universiti Malaysia Sabah

Buku bertajuk Makanan Hidup Untuk Ikan ini mengandungi 9 bab yang antara lain menghuraikan makanan-makanan hidup untuk ikan seperti cacing merah, cacing benang, cacing tanah dan makanan ikan yang dikenali sebagai Rotifer, Monia sp., Daphnia magna dan Artemia sp.

Bab pertama membincangkan tentang kepentingan makanan ikan yang sesuai untuk pertumbuhan, pembiakan dan kesihatan ikan. Makanan ikan merupakan campuran bahan-bahan yang terdiri daripada sumber tumbuhan dan haiwan bagi mendapatkan komposisi nutrein, protein, lemak, karbohidarat dan mineral yang mencukupi untuk ikan.

Makanan untuk anak atau larva ikan terbahagi kepada dua jenis iaitu diet rumusan dan dan makanan hidup. Pemilihan jenis makanan bergantung kepada beberapa faktor seperti umur, saiz mulut, keadaan usus dan spesies ikan.  Diet rumusan adalah campuran bahan-bahan yang terdiri daripada sumber tumbuhan dan haiwan bagi mendapatkan komposisi nutrien, protein, lemak, karbohidrat dan mineral yang mencukupi untuk ikan. Diet yang ada di pasaran terdapat dalam pelbagai bentuk seperti serbuk, pelet, emping dan cecair. Manakala, makanan hidup pula ialah organisma yang terdiri dalam kalangan tumbuhan segar atau haiwan hidup yang dimakan semasa hidup oleh ikan.

Cacing tanah, cengkerik, lipas dan ulat roti merupakan jenis makanan hidup yang bukan diternak di dalam air. Semua haiwan ini biasanya dijadikan makanan kepada ikan hiasan seperti kelisa, kelah dan lain-lain. Ikan kelisa ialah sejenis ikan yang secara semula jadinya hanya memakan organisma yang hidup atau bergerak sahaja. Apabila ikan jenis ini diberikan makanan hidup seperti cengkerik, ia akan terus menangkap mangsanya.

Bab kedua menerangkan lebih lanjut tentang Rotifer atau nama saintifiknya Brachionus, sejenis makanan hidup dalam rantaian makanan larva ikan, udang dan ketam. Rotifer ialah haiwan yang sangat kecil atau mikroskopik yang mempunyai pelbagai bentuk seperti loceng, silinder, sfera atau bulat dan boleh diperoleh dalam persekitaran air tawar, air payau dan air masin. Ia membentuk lapisan nipis di permukaan air pada waktu pagi. Oleh sebab saiznya yang kecil, ia amat sesuai menjadi makanan kepada anak ikan yang berumur kurang daripada seminggu.

Dalam bab ketiga, penulis menerangkan mengenai makanan anak ikan di peringkat nurseri iaitu Moina, Daphnia dan Diaphanosoma.  Moina banyak terdapat di kawasan kolam air kumbahan atau di perairan yang tercemar. Kehadiran Monia di dalam satu-satu perairan boleh dikatakan mempunyai bahan organik yang tinggi. Dalam sistem ternakan ikan jenis tertutup, pengumpulan bahan terlarut akan berlaku yang tidak digunakan oleh ikan. Keadaan ini menyebabkan pencemaran kualiti air serta mengganggu pertumbuhan dan kesihatan ikan.  Manakala, dalam bab keempat memperincikan mengenai Daphnia magna sebagai salah satu makanan ikan yang merupakan sejenis zooplankton bersaiz besar yang hidup dalam air tawar dan amat sesuai dijadikan makanan anak ikan dan ikan hiasan bersaiz besar seperti ikan Angel, Tiger Barb atau ikan emas. Kandungan protein Daphnia melebihi 50%. Daphnia Magna berasal dari negara iklim sederhana.  Walaubagaimanapun, ia sangat sensitif terhadap suhu air yang melebihi 26 darjah selsius.

Penulis juga menghuraikan mengenai satu lagi makan ikan Artemia sejenis krustasea laut yang mempunyai tahap kemasinan air yang tinggi.  Artemia boleh didapati di tasik-tasik garam dan tidak terdapat di lautan biasa. Artemia dijual dalam bentuk sista atau telur rehat. Sista Artemia yang dipungut dari tempat pembiakannya akan dikeringkan dan ditinkan sebelum dijual.

Dalam bab keenam, penulis menyentuh mengenai cacing merah yang dikenali juga sebagai cacing darah atau larva kironomid. Larva kironomid adalah sejenis serangga sera atau midge seakan-akan nyamuk yang tidak menggigit atau menghisap darah. Larva dan pupa kironomid ini sangat berkhasiat dan merupakan antara sumber protein, lemak, vitamin dan mineral yang terbaik bagi ikan hiasan. Badan cacing ini berwarna merah kerana terdapat komponen hemoglobin pada kulitnya yang berfungsi membekalkan oksigen dan zat besi kepada kebanyakan hidupan.

Permintaan terhadap cacing merah semakin meningkat terutamanya dalam industri ikan hiasan. Oleh sebab permintaannya yang semakin meningkat, maka ramai penyelidik berusaha mencari kaedah yang terbaik untuk membiakkan cacing merah ini dengan menggunakan pelbagai jenis medium pertumbuhan seperti menggunakan bahan buangan kilang hasil pemprosesan minyak kelapa sawit sebagai nutrien yang berpotensi untuk pertumbuhan larva kironomid.

Bab ketujuh pula membincangkan mengenai dengan cacing benang yang juga dikenali sebagai cacing lumpur. Haiwan ini tergolong dalam famili Tubicidae. Secara fizikalnya, ia berbentuk seperti benang yang berwarna kemerah-merahan dan habitatnya di kawasan perairan yang kaya dengan bahan nutrien. Di dalam habitatnya, sebahagian daripada badan cacing ini kelihatan bergerak melambai-lambai mengikut arus air, manakala sebahagian lagi badannya tidak kelihatan kerana tertanam di dalam lumpur. Apabila diganggu, cacing ini dengan pantas akan menghilangkan diri masuk ke dalam lumpur.

Bab terakhir membincangkan cacing tanah yang tergolong dalam kelompok binatang Invertebrata (tidak bertulang belakang) yang hidupnya di dalam tanah gembur dan lembap. Cacing tanah secara semula jadinya berfungsi untuk menggemburkan tanah dengan meningkatkan udara dan membolehkan air menembusi serta berkitar di dalam tanah. Cacing tanah berfungsi memecahkan bahan organik seperti daun dan lumpur kepada bahan yang boleh digunakan oleh tumbuhan. Ia akan memakan semua jenis bahan organik yang telah melalui proses penguraian oleh bakteria dan lain-lain bahan yang mengandungi bahan organik yang boleh dihadamkan. Cacing tanah biasanya dapat menyesuaikan diri dengan cepat dalam persekitaran yang berbeza.

Makanan hidup yang lain untuk ikan ialah Infusoria, udang gantung, cengkerik dan lalat buah. Infusoria ialah nama yang digunakan bagi semua jenis organisma mikroskopik di dalam air tawar. Ia terdiri daripada pelbagai jenis hidupan dalam kumpulan protozoa, siliat (ciliate) euglenoid dan alga satu sel yang biasanya terdapat di dalam kolam air tawar. Udang gantung pula boleh dijumpai di kawasan sawah padi dan di dalam kolam terbiar yang tebingnya ditumbuhi dengan tumbuhan seperti kiambang, keladi bunting atau rumput air. Cengkerik pula adalah antara serangga yang kerap diberi makan kepada ikan hiasan yang bernilai tinggi seperti kelisa atau arowana dan kelah. Lalat buah merupakan serangga yang sering digunakan dalam kajian genetik di makmal penyelidikan di seluruh dunia. Lalat ini boleh menjadi makanan kepada ikan hiasan bersaiz kecil yang makan di bahagian atas air kerana lalat akan terapung di atas permukaan air. 

Buku ini sangat bermanfaat kepada masyarakat umum khususnya yang ingin mendalami perkara-perkara berkaitan dengan makanan ikan. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.