Select your language

Makanan Tradisional Masyarakat Melayu

Penulis
Hamdzah A. Rahman

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2016. 130 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Turly Tony, Pelatih Industri, UiTM, Cawangan Negeri Sembilan

Buku bertajuk “ Makanan Tradisional Masyarakat Melayu” ini bertujuan untuk memperkenalkan makanan-makanan tradisional masyarakat Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian kaum, budaya dan etnik.

Buku ini amat sesuai dibaca dan dijadikan bahan rujukan untuk pelajar sama ada di  Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang mengambil jurusan kulinari atau dalam bidang masakan, ahli akademik, usahawan dan pencinta makanan tradisional.

Buku ini terdiri daripada tiga bahagian dan di setiap bahagian mempunyai tiga bab yang mendedahkan pelbagai jenis makanan tradisional yang terdiri daripada dua kategori iaitu makanan peraman dan makanan tanpa peraman. Makanan peraman terbahagi kepada tiga kategori iaitu hasil pertanian yang terdiri daripada belacan, bosou, budu, ikan kering dan lain-lain manakala hasil ternakan ialah dadih, tairu dan telur masin. Seterusnya, hasil tanaman seperti angkak, arak beras, cuka asli, tempoyak dan lain-lain.

Makanan tanpa peraman juga terbahagi kepada tiga kategori iaitu hasil pertanian iaitu bebola ikan, kek ikan, keropok, otak-otak dan lain-lain. Hasil ternakan pula ialah seperti ganteh, serunding dan telur pindang. Bagi hasil tanaman adalah seperti acar, bihun, cendol, cincau dan lain-lain.

Dalam dua bahagian ini, penulis turut berkongsi langkah-langkah bagi membuat atau memproses makanan-makanan tradisional. Secara tidak langsung, pembaca bukan sahaja mendapat ilmu malah dapat mempraktikan kaedah-kaedah dalam memproses atau membuat makanan-makanan tradisional.

Bahagian ketiga ialah strategi pembangunan makanan tradisional juga terdiri kepada tiga bab iaitu teknologi, peluang perniagaan dan promosi dan khasiat semula jadi. Bahagian ini menjelaskan bagaimana teknologi telah berkembang maju dalam proses membuat makanan tradisional ini.

Bukan itu sahaja, bahagian ini juga memaparkan bagaimana para usahawan atau peniaga untuk meningkatkan lagi keuntungan bagi produk mereka dengan menggunakan pelan promosi dan pelan pemasaran. Dengan adanya pelan-pelan seperti ini, pembaca terutama golongan usahawan akan lebih yakin untuk mempromosikan makanan-makanan tradisional di negara Malaysia dan luar negara.

Malah, penulis juga telah mencatatkan khasiat-khasiat semula jadi sama ada dalam pemakanan dan perubatan yang boleh didapati dengan menggunakan proses pemeraman dan tanpa pemeraman. Secara langsung, pembaca akan lebih bermotivasi untuk menggunakan kaedah pemeraman dan tanpa pemeraman ini untuk kesihatan diri dan keluarga mereka.  Para pembaca khususnya golongan wanita akan lebih bermotivasi dan tanpa was-was untuk mencuba makanan tradisional sama ada dalam peraman atau tanpa peraman.

Secara keseluruhannya, kelebihan buku ini ialah sarat dengan maklumat khusus dan menyeluruh tentang makanan-makanan tradisional yang diproses dalam kaedah pemeraman dan tanpa pemeraman. Di samping analisis  menyeluruh, di mana penulis telah mengkaji dan  menunjukkan  kandungan zat yang terdapat dalam makanan-makanan tradisional supaya dapat membantu para pembaca untuk lebih yakin menggunakan proses pemeraman dan tanpa pemeraman ini.

Pembaca juga dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makanan-makanan tradisional ini kerana buku ini dilengkapi dengan foto-foto yang menunjukkan gambaran  makanan tradisional. Hal ini sedikit sebanyak  juga dapat membantu para pembaca yang berbeza kaum untuk mengenal pasti makanan tradisional kaum yang lain serta  mencuba untuk menyediakan makanan tradisional kaum lain kerana penulis telah menyelitkan langkah-langkah penyediaan yang mudah difahami oleh para pembaca. Penggunaan bahasa juga tidak terlalu sukar dan mudah difahami serta cara penyampaian yang menarik boleh menarik minat pembaca untuk membaca buku ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang  Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my  atau hubungi 088231623,  2148 28, 256192  untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Walau bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke Perpustakaan di luar Kota Kinabalu. Sila berhubung dengan Perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Buku dan pintu adalah hal yang sama. Kamu membukanya dan kamu pergi ke dunia lain."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.