Select your language

Panduan Mudah Menjaga Kereta

Penulis
Ahmad Hisham Rusti

Terbitan
DBP, 2015, 134 mukasurat

 

Ulasan oleh Mohmad @ Mohammad Ramlan Bin Haji Wanik

Buku yang berjudul ‘Panduan Mudah Menjaga Kereta’ ini mengandungi 11 bab yang menerangkan kepada pembaca tentang lokasi komponen-komponen kereta, tip-tip asas penjagaan kereta, cara menyelenggarakan komponen kereta dan tip-tip menjimatkan petrol.

Seterusnya, pembaca dibawa memahami penjagaan rutin kereta, iaitu mengenai pentingnya manual kereta dan penyelenggaraan secara berjadual, pemanduan biasa dan pemanduan lasak, tip-tip penjagaan kereta secara umum, senarai untuk meneliti sebarang perubahan dan bahagian kereta yang memerlukan penjagaan rutin.

Komponen yang amat penting dijaga dalam kereta ialah bahagian enjinnya. Rata-ratanya pemilik kereta atau pemandu memang “buta huruf” tentang enjin.  Sedangkan mengesan masalah enjin perlu diketahui awal supaya kerosakan tidak bertambah teruk.

Enjin kereta juga dikenali sebagai enjin pembakaran dalaman.  Enjin ini direka dengan menggunakan satu siri letupan kecil dalam ruang pembakaran tertutup atau kebuk pembakaran untuk menghasilkan kuasa yang diperlukan untuk menggerakkan kereta.

Enjin kereta adalah enjin empat lejang atau four-stroke dan mempunyai empat langkah asas yang berulangan setiap dua revolusi enjin tersebut, iaitu lejang masukan dan sedutan, lejang mampatan, lejang kuasa dan lejang ekzos.  Enjin empat lejang melibatkan bahagian enjin seperti omboh, silinder, aci sesondol, injap masukkan, injap ekzos, palam pencucuh dan aci engkol.  Bahan api diperlukan untuk pembakaran, manakala minyak pelincir diperlukan untuk melancarkan operasi enjin.  Kerosakan enjin dan cara-cara menanganinya dijelaskan dalam bab ketiga buku ini.

Radiator merupakan komponen sampingan terpenting di dalam sebuah kenderaan yang menggunakan sistem penyejukan air dan fungsinya untuk menyejukkan kereta. Kerosakan pada radiator boleh menyebabkan enjin terlalu panas dan pecutan kereta terjejas. Jika enjin kereta mengalami pemanasan melampau, matikan enjin dengan segera, kerana jika dibiarkan enjin hidup boleh menyebabkan kereta terbakar. Tip penjagaan penapis udara, tali sawat, hos, minyak, bendalir dan punca pendingin udara rosak terdapat dalam bab empat dan lima. Bab enam pula, memberi penjelasan mengenai tayar kereta, tip menjaga tayar dan cara menukar tayar kereta.

Seterusnya, dalam bab tujuh menjelaskan secara khusus mengenai masalah pengendalian kereta yang bermula dengan cara mengesan kerosakan dan penyerap kejutan, stereng berat dan sukar dikawal, mengesan masalah dan kerosakan brek. Bateri kereta juga merupakan antara perkara yang jarang-jarang diambil tahu oleh pemilik atau pemandu. Sedangkan bateri kereta merupakan komponen penting untuk menghidupkan kereta. Oleh itu, bateri mesti sentiasa berada dalam keadaan optimum. Perincian mengenai bateri dijelaskan dalam bab lapan buku ini.

Menurut penulis, bateri boleh bertahan sehingga lima tahun jika dijaga secara berkala. Bila tiba masa untuk menukar bateri kereta yang baharu, belilah bateri yang sesuai dengan kereta anda, kerana kesilapan menukar bateri ini akan menyebabkan terganggu prestasi sistem elektrik kereta. Jangan membeli bateri yang sudah lama tersimpan, lihat tarikh dikilangkan yang ditampal di atas bateri. Masalah menjaga bateri dan lampu diterangkan dalam buku ini pada bab lapan.

Seterusnya, dalam bab sembilan memberi tip cara mencuci enjin dan badan kereta dengan betul serta cara menyimpan kereta dalam tempoh yang lama. Yang paling penting ketika membasuh kereta, hendaklah dihilangkan terlebih dahulu debu yang melekat pada badan kereta dengan air biasa terlebih dahulu. Jika kotoran tersebut masih sukar dihilangkan, gunakan kain lembap untuk membuang debu, jangan menggunakan kain kering nanti akan mencalarkan kereta. Setelah menyabun kereta jangan biarkan sabun lama melekat pada kereta, kerana ia boleh merosakkan cat.

Buku ini memberi panduan bagaimana cara terbaik menjaga dan menyelenggarakan kereta tanpa membincangkan perkara yang teknikal.  Cara penulisannya jelas, mudah difahami dan amat sesuai dibaca untuk semua lapisan masyarakat. Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Tidak ada teman yang setia seperti bersama sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.