Panduan Senaman Untuk Kesihatan

Penulis
Hairul Anuar Hashim dan Asmadi Ishak

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017. 138 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Oslen Dinagge Mosiun, Latihan industri, UiTM, Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Aktiviti bersenam dan bersukan yang berterusan dapat memberikan kesejahteraan dari segi kesihatan, fizikal, mental, sosial, emosi dan juga rohani. Tahap kesihatan dan kesejahteraan yang baik dapat dicapai melalui amalan gaya hidup sihat. Walaupun senaman dapat memberikan manfaat, namun senaman sering diabaikan dalam kehidupan.    

Buku bertajuk Panduan Senaman Untuk Kesihatan memberi panduan kepada pembaca tentang bagaimana menjadikan senaman sebagai satu tabiat dan bagaimana hendak memulakan sesi senaman. Buku ini mengandungi 7 bab yang turut mengetengahkan beberapa panduan asas senaman beserta dengan teknik-teknik bersenam seperti senaman kalistenik, senaman jalur rintangan dan senaman teras badan.

Dalam bab kedua, penulis mengupas isu mengenai senaman sebagai satu tabiat. Tabiat merujuk sesuatu tingkah laku yang dilakukan tanpa perlu berfikir terlebih dahulu. Strategi untuk menjadikan senaman dan sukan sebagai satu tabiat amat penting. Peratusan yang tinggi bagi golongan rakyat Malaysia ialah sesuatu yang membimbangkan. Terdapat pelbagai sebab yang diutarakan untuk seseorang itu kurang bersenam. Antaranya termasuklah tiada peralatan dan kemudahan, tiada masa, tiada motivasi, kewangan yang terbatas, tidak tahu bersukan dan pelbagai sebab lagi.

Penulis menjelaskan bahawa tabiat bersenam dan bersukan boleh dibentuk melalui beberapa strategi. Antara strategi yang diutarakan ialah kuasa minda. Dalam konteks sukan dan senaman, terapkan dalam minda anda bahawa sukan serta senaman itu menyeronokkan yang boleh mendatangkan pelbagai kebaikan kepada kesihatan dan kesejahteraan diri. Penerapan ini bukan sahaja membantu menerapkan sifat positif malah meningkatkan keinginan untuk mahu bersenam. Selain itu, memilih aktiviti yang digemari, kekerapan mengikuti aktivti bersukan, mengingatkan diri untuk bersenam, mempunyai matlamat yang spesifik, memilih aktiviti yang realistik iaitu aktiviti yang setara dengan kebolehan diri dan akhir sekali fleksibiliti jadual bersenam.

Menariknya, penulis menerangkan prinsip senaman asas yang dikenali sebagai prinsip senaman FITT (Frekuensi, Intensiti, Jangka Masa dan Jenis Aktiviti). Prinsip ini saling berkait antara satu sama lain bagi mendapatkan kesan senaman yang optimum. Prinsip ini berfungsi sebagai panduan dalam berlakunya kecederaan dan meningkatkan tahap efisiensi pergerakan yang melibatkan sendi, ligamen dan tendon otot.

Sebelum memulakan aktiviti, sesi bersenam perlu disusun atur dengan baik untuk memastikan keberkesanannya. Struktur senaman yang betul terdiri daripada urutan fasa seperti sesi memanaskan badan dan regangan otot, sesi senaman utama seperti senaman aktiviti aerobik dan anarobik dan diakhiri dengan sesi penyejukan badan. Ilustrasi dan gambar bagi setiap aktiviti regangan dan senaman diterangkan secara terperinci dalam buku ini.

Buku ini sangat bermanfaat kepada masyarakat umum kerana memberi panduan untuk melakukan aktiviti senaman yang betul dan menjelaskan kepentingan bersenam kepada pembaca. Panduan yang diketengahkan dalam buku ini dapat mencetuskan minat dan mengubah sikap masyarakat dalam membudayakan aktiviti bersenam dalam kehidupan seharian.

Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623/ 214828/ 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.