Select your language

Pembiakan Tanaman Herba

Penulis
Cheppy Syukur dan Nor Faridah Sharudin

Terbitan
Synergy Media Books. 134 Muka Surat.

 

Ulasan oleh Ruhien binti Minol, Latihan Industri, UiTM Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Tanaman herba merupakan salah satu sumber pendapatan ekonomi negara. Buku yang bertajuk 'Pembiakan Tanaman Herba' ini bertujuan untuk menjadi panduan khusus kepada pengusaha tanaman herba dan petani. Namun begitu, buku ini juga sesuai digunakan kepada semua golongan masyarakat dan sangat berguna untuk memberi pengetahuan yang lebih dalam lagi tentang tanaman herba. Jika panduan ini digunakan dengan sebaik-baiknya, semua orang boleh menjadi usahawan tanaman herba yang berjaya.

Buku ini mengandungi enam bab, iaitu dalam bab pertama penulis menerangkan tentang prospek perusahaan tanaman herba di Malaysia. Penulis mencatatkan bahawa Malaysia memiliki sebanyak 7, 000 spesies tanaman yang berkhasiat. Hal ini menunjukkan bahawa negara kita sangat bertuah kerana mempunyai warisan semula jadi yang sangat berguna dalam bidang perubatan untuk generasi sekarang mahu pun yang akan datang.

Menurut penulis, sangat mudah untuk menjadi pengusaha herba yang berjaya kerana cara penjagaannya lebih mudah berbanding dengan buah-buahan dan sayur-sayuran. Faktor penentu keberhasilan pembiakan tanaman herba telah diterangkan secara terperinci dalam bab kedua buku ini. Bab ketiga pula membincangkan tentang teknik-teknik pembiakan tanaman herba.

Seterusnya, pembiakan tanaman herba secara komersial telah dihuraikan dalam bab empat. Ia mengandungi pelbagai jenis tanaman herba yang telah diterangkan tentang rupa bentuk, teknik-teknik pembiakan, syarat-syarat pertumbuhan serta khasiat tanaman tersebut. Kebanyakan jenis tanaman ini sangat mudah didapati dan boleh menjadi sebagai tanaman hiasan di taman-taman atau di halaman rumah. Menanam sendiri tanaman herba ini sangat mudah dan menjimatkan kos daripada membeli di pasar.

Bab yang kelima dalam buku ini membincangkan tentang kaedah pemasaran hasil daripada pembiakan tanaman herba. Dalam bab ini, terdapat empat topik utama yang dihuraikan iaitu pemasaran, cara pembungkusan, penghantaran dan sistem pemasaran tunas atau anak pokok baru. Bab yang terakhir, penulis telah menyertakan analisis tentang kewangan perusahaan tanaman herba. Analisis kewangan merupakan salah satu aspek yang sangat penting untuk mengira keuntungan dan kerugian dalam  perusahaan dalam bidang tanaman herba.

Gambar rajah yang berlabel mengikut urutan dilampirkan untuk memudahkan pembaca memahami dan mengikuti proses cara-cara pembiakan tanaman herba. Gambar-gambar yang berwarna juga disertakan agar rupa bentuk tumbuhan tersebut dapat dikenali serta membuat kandungan buku ini lebih menarik. Buku ini bersaiz  sederhana untuk memudahkan pembaca membawanya di mana-mana.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang kandungan buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui keberadaan buku ini. Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Cuma perlu satu buku untuk jatuh cinta pada membaca. Cari buku itu. Mari jatuh cinta."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.