Select your language

Perusahaan Cendawan

Adaptasi
Noor Rafidah Binti Ibrahim

Terbitan
Kuala Lumpur:  Synergy Media.  64  Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Mahat Jamal, Program Komunikasi, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah.

Buku bertajuk Perusahaan Cendawan ini yang mengandungi  Tujuh (7) bab yang menyentuh mengenai khasiat cendawan sebagai anti-HIV; penggunaan cendawan yang lazat dan berkhasiat; persiapaan dan perlaksaan perusahaan cendawan;  pembuatan pengeluaran benih cendawan dan juga hasil tanaman serta selepas pungutan hasil.

Bab pertama menyentuh mengenai jenis-jenis dan khasiat-khasiat cendawan seperti cendawan shiitake, kuping, tiram, lingzhi dan merang. Cendawan diketahui mempunyai kandungan nutrisi yang lengkap dengan  vitamin B1, B2, D dan niacin. Ia juga mengandungi pelbagai unsur mineral yang diperlukan oleh tubuh manusia seperti kalium, kalsium, natrium dan mangesium serta mengandungi serat yang tinggi. Terdapat juga beberapa jenis cendawan yang  mampu menurunkan tekanan darah tinggi, kolestrol dan gula dalam darah.

Bab kedua pula menerangkan habitat cendawan itu sendiri. Berdasarkan bahan tumbuhnya, cendawan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu cendawan kayu dan cendawan merang. Nama cendawan kayu adalah berdasarkan kebergantungannya terhadap bahan-bahan berasaskan kayu gelondongan, serpihan atau serbuk kayu bergergaji. Cendawan shiitake, cendawan kuping dan cendawan tiram antara yang termasuk dalam kategori ini.

Cendawan merang  (volvaria volvacea) mempunyai volva atau bertudung seperti cawan, mempunyai batang dan memiliki spora iaitu serbuk halus yang dihasilkan oleh bakteria berwarna merah atau merah muda. Proses perkembangannya bermula daripada simpulan, butang kecil, butang, telur, pemanjangan batang dan seterusnya di peringkat dewasa dengan bentuk cawannya menjadi payung yang terbuka penuh. Walaupun cendawan ini tergolong dalam jenis yang beracun tetapi terus menjadi popular dalam kalangan penggemar cendawan kerana rasanya yang enak dan sedap.  Disebabkan kaya dengan protein kasar dan kadar lemak yang rendah, cendawan ini sangat sesuai digunakan untuk mereka yang menjalani program diet.

Cendawan shiitake, selain dari keenakannya mampu menghalang ketumbuhan tumor atau kanser. Ia mengandungi protein, niacin, thiamin riboflavin, lentinan dan pelbagai mineral lain. Cendawan kuping pula yang bentuknya seperti daun telinga mempunyai tubuh berlekuk-lekuk dengan lebar antara 3-8 sentimeter dan apabila digigit rasanya kenyal. Cendawan ini dijual dalam awetan kering dan perlu direndam dahulu di dalam air sebelum dimasak untuk menjadikannya kenyal semula.

Cendawan tiram pula menyerupai cengkerang kerang dengan diameter antara 5-15 sentimeter. Permukaannya licin dan agak berminyak apabila berada dalam keadaan lembab. Cendawan tiram mengandungi kolesterol yang rendah dan dipercayai dapat mencegah penyakit darah tinggi dan serangan jantung.

Cendawan lingzhi mempunyai tangkai sebanyak 5 sehingga beberapa puluh sentimeter juga banyak digunakan sebagai ramuan ubat. Ia biasa tumbuh di batang-batang pokok dan tongkak-tongkak. Khasiatnya dipercayai boleh merawat penyakit darah tinggi, diabetes, kanser, jantung, ginjal dan juga saraf.

Bab ketiga menerangkan mengenai persiapan dan pelaksanaan perusahaan cendawan. Cendawan memerlukan prasyarat pada fasa miselium (awal) dan fasa tubuh buah (dewasa) yang khusus seperti suhu, pH (potential hydrogen/tahap asid) dan juga kelembapan. Secara umum kelembapan bagi cendawan shiitake, kuping  dan tiram adalah di sekitar 95-100%.

Cendawan shiitake, memerlukan suhu pada fasa miselium mencapai 24 darjah celsius dan fasa tubuh buah 20 darjah celsius sementara tahap pH 4.7-4.8. Bagi cendawan kuping suhu fasa miseliumnya ialah 28 darjah celsius dan fasa tubuh buah, 22-25 darjah celsius dengan tahap pH di peringkat miselium sekitar 4.5-7.5 dan fasa tubuh buah 7.2. Bagi cendawan tiram pula fasa miselium ialah antara 26-28 darjah celsius sementara fasa tubuh buah 24-26 darjah celsus dengan tahap pH sekitar 5.5-7.2. Cendawan lingzhi dapat tumbuh dalam keadaan suhu 24-29 darjah celsius dengan kelembapan 80-90%. Bagi cendawan merang pula suhu yang diperlukan sekitar 32-28 darjah celsius dengan pH 68.8-7.0 dan kelembapan 80-85%.

Bab 4 pula membincangkan substrat tanam cendawan. Subtsrat tanam adalah bahan-bahan yang digunakan sebagai pemangkin penumbuhan dan kesuburan cendawan. Bagi jenis cendawan kayu selain penggunaan bahan kayu gelondongan dan serbuk kayu bergergaji bahan-bahan lain juga boleh digunakan seperti jerami padi, dedak dan hempas tebu. Syaratnya, bahan-bahan tersebut haruslah mengandungi cukup selulosa (sebitan organik dengan formula tertentu). Jika menggunakan serbuk kayu bergergaji, ia perlu dicampur dengan bahan-bahan lain seperti bekatul, urea, kalsium karbonat (CaCO3) dan juga air.

Kaedah pembuatan biakan murni dibincangkan dalam Bab 5. Biakan murni adalah miselium cendawan yang tumbuh atas bahan agar-agar. Agar-agar yang dilazim digunakan ialah agar-agar dektrosa, ekstrak khamir dan ekstrak malt. Agar-agar dekstrosa kentang (ADK) atau potato dextrose  banyak digunakan untuk pengembangan biakan murni dibandingkan agar-agar lain.  ADK berasal dari tepung yang dikenali dengan jenama Bacto atau Oxid. Bahan ini dibuat dengan mencampurkan 200 gram rebusan kentang, 20 gram dektrosa, 20 gram agar-ragar dan 1,000 mililiter air suling. Biakan murni boleh dibuat atau dibeli dari institusi yang memiliki makmal mikrobiologi dan dapat bertahan sekitar enam bulan sahaja.

Dalam Bab 6  menerangkan proses pengeluaran benih cendawan yang berkualiti. Contohnya, bahan-bahan asas untuk membuat benih induk cendawan ialah bijian-bijian kerana ia mengandungi lebih banyak nutrisi membuatkan miselium cendawan dapat cepat tumbuh. Setelah direndam, ditapiskan dan dicampur dengan bahan lain, biji dimasukkan ke dalam botol. Botol-botol yang telah disuntik diletakkan ke dalam ruangan khas suntikan selama 10 hingga 14 hari atau ketika miseliumnya sudah memenuhi substrat.

Umumnya, cendawan adalah komoditi pertanian yang cepat layu dan rosak. Kerosakan utama lazimnya disebabkan  oleh serangga, mikro pembusuk dan terjadinya proses penapaian kerana enzim polifenolase dipengaruhi oleh udara. Ini menyebabkan terdapatnya lendir pada cendawan, warna berubah daripada putih menjadi kecokelatan dan pada waktu yang sama mengeluarkan bau yang tidak disenangi.

Buku ini sangat bermanfaat kepada masyarakat umum khususnya mereka yang berminat untuk melibatkan diri dengan perusahaan cendawan. Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.