Select your language

Petunjuk Praktis: Usaha Niaga Penternakan Cacing

Penulis
Khairuman & Khairul Amri

Terbitan
Kuala Lumpur: SAM Synergy Media Sdn. Bhd. 103 Muka Surat.

 


 

Ulasan oleh Turly Tony, Pelatih Industri, UiTM, Cawangan Negeri Sembilan

Pernahkah anda terfikir bahawa cacing boleh memberikan keuntungan kepada anda? Secara umumnya, ramai orang merasakan bahawa cacing ini adalah haiwan yang menggelikan namun tanpa anda sedari cacing tanah juga mempunyai nilai yang tersendiri dan berpotensi menjadi komoditi yang boleh membawa keuntungan yang tidak ternilai.

Buku yang bertajuk Petunjuk Praktis: Usaha Niaga Penternakan Cacing ini mendedahkan betapa bernilainya cacing tanah dan mengapa ia dianggap sebagai komoditi yang boleh membawa keuntungan kepada anda. Buku ini juga sangat sesuai dibaca oleh usahawan yang ingin menjalankan penternakan cacing tanah atau yang ingin berjinak-jinak dalam penternakan cacing tanah.

Bab pertama menghuraikan sifat-sifat dan habitat hidup cacing tanah. Menurut penulis, cacing tanah terbahagi kepada beberapa kelas atau kelompok yang berdasarkan habitat tempat hidup, najis, warna  dan jenis makanan iaitu Polychaeta,  Hirudinea, Oligochaeta, Epigaesis,  Anazesis, Endogaesis, Coprophagic  dan  Arboricolous.

Selain itu, penulis turut menjelaskan kegunaan cacing tanah kepada manusia.  Menurut kajian sumber,  cacing tanah mempunyai kadar protein yang tinggi berbanding protein yang terdapat dalam daging ternakan seperti lembu, kambing dan kerbau. Malah, asid amino cacing tanah juga tinggi daripada ikan dan daging.

Oleh itu, cacing tanah boleh dijadikan bahan ubat tradisional iaitu sebagai salah satu bahan ramuan dalam penyembuh penyakit kronik iaitu sebagai penyembuh demam, ubat cirit-birit, melancarkan aliran darah dan ubat strok serta hipertensi. Cacing tanah juga berpotensi menjadi bahan komestik moden kerana menurut Dr. Rochajat Harun Med (2009) bahan aktif cacing tanah boleh digunakan sebagai bahan pelembut kulit, pelembap wajah dan anti jangkitan.

Dalam buku ini, penulis turut berkongsi kebaikan cacing tanah untuk ternakan, pertanian dan persekitaran.  Dari segi penternakan, cacing tanah telah menjadi makanan haiwan ternakan sama ada diberikan secara langsung ataupun dicampur dengan bahan lain. Bagi pertanian pula, cacing tanah menjadi penyubur kepada tanah kerana sebahagian besar tanah mineral yang telah dicerna dan  dikembalikan ke dalam tanah oleh cacing tanah menjadi bentuk nutrisi yang mudah digunakan oleh manusia. Selain itu, cacing tanah juga dipercayai dapat memperbaiki saliran dan pengudaraan tanah. Malah, antara salah satu wilayah di China iaitu wilayah Qingpu, Shanghai telah menggunakan cacing tanah dalam menangani sampah domestik yang terdiri daripada sisa organik yang tidak mengandungi garam dapur dan peluntur.

Buku ini juga memaparkan beberapa jenis cacing yang berpotensi untuk penternakan yang terdiri daripada Lumbricidae, Megascolecidae, Acanthrodrilidae dan Octochaetidae. Penulis juga menjelaskan bahawa cacing sutera yang hidup dalam lumpur berair telah banyak diternak kerana sesuai digunakan makanan ikan hiasan dan ternakan ikan.

Bagi kaedah penternakan cacing tanah, kelembapan, suhu, tahap keasidan dan bahan organik yang disediakan perlu dititkberatkan oleh penternak. Seterusnya, tempat penternakan adalah dilakukan di kawasan yang terhindar daripada sinar matahari secara langsung, terhindar daripada hujan dan lain-lain lagi. Penulis juga menyatakan jenis media penternakan yang sesuai untuk cacing tanah iaitu bahan media perlulah  mengandungi bahan organik yang telah terurai dan semua jenis najis haiwan ternakan sesuai sebagai bahan media penternakan cacing tanah. Di dalam buku ini juga, penulis turut memaparkan langkah-langkah membuat media penternakan cacing, proses pembuatan media penternakan cacing tanah dan pengendalian media sepanjang penternakan.

Penyediaan makanan keperluan untuk cacing amatlah penting iaitu makanan yang diberikan haruslah dalam bentuk lembut dengan memberikan makanan yang mengandungi 80% air dan 20% bahan padat dengan kaedah pemberian makanan adalah dalam cara yang betul.

Penulis juga telah menjelaskan cara meperoleh benih, teknik memancing cacing, kepadatan taburan benih dan pola penaburan benih .Penulis juga membincangkan cara tuaian yang betul dan selepas penuaian dimana penternak boleh membuat tepung cacing tanah sebagai jualan sampingan bagi keuntungan mereka.

Secara kesimpulannya, buku ini memberikan maklumat yang padat dan lengkap kepada para pembaca. Malah, penyampaian ayat yang mudah difahami dan tanpa ayat kiasan membantu para pembaca memahami dengan mudah.  Buku ini juga menceritakan dari muka surat pertama hinggalah ke muka surat yang terakhir mengenai info-info dan maklumat yang sangat berguna dalam   penternakan cacing tanah. Buku ini membuktikan bahawa cacing tanah bukan sahaja sekadar umpan dalam pacingan ikan malah lebih dari itu lagi yang melayakkan haiwan yang berbadan lembut ini menjadi salah satu komoditi yang menguntungkan para penternak sekiranya mereka menjalankan penternakan cacing tanah.  Penulis juga telah menyertakan bibliografi sebagai rujukan dan  beberapa gambar yang boleh membantu para pembaca untuk lebih mendalami dan memahami  ilmu penternakan cacing tanah.

Buku ini bukan sahaja sesuai dibaca untuk mengisi masa lapang malah boleh dijadikan rujukan bagi para penternak, usahawan para pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta khususnya yang mengambil bidang pertanian.

Oleh yang demikian, untuk mengetahui secara lanjut lagi mengenai buku ini, sila layari laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.go.my  atau hubungi kami di talian 088-231623/ 214828/ 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Walau bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu. Sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.