Tanaman Berkhasiat Antioksidan

Penulis
Hermani, Mono Rahardjo

Adaptasi
Khairunasikin Alias

Terbitan
Kuala Lumpur: Synergi Media Books Sdn. Bhd., 114  Muka Surat


 

Ulasan oleh Jokiah Gandili, Perpustakaan Desa Pekan Nabalu.

Kesihatan merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan kita. Untuk mendapatkan kesihatan yang optimum, kita perlu mengamalkan pengambilan makanan yang mengandungi nutrisi yang diperlukan oleh tubuh kita setiap hari.  Tubuh kita mempunyai ketahanan yang dapat mencegah serangan pelbagai jenis penyakit yang dikenali sebagai antioksidan.

Antioksidan sangat penting dalam penjagaan tubuh kita  kerana ia berfungsi dalam bentuk unsur yang boleh bertindak menstabilkan radikal bebas. Antioksidan juga dapat mencegah sel–sel tubuh daripada menghadapi kerosakan akibat tindakbalas yang dihasilkan oleh radikal–radikal bebas. Kehadiran radikal bebas ini menjadi kebimbangan kerana ia boleh mempercepatkan proses penuaan dan meningkatkan risiko lebih 60 jenis penyakit berbahaya seperti penyakit jantung, strok, kencing manis, kanser dan banyak lagi. Antioksidan ini boleh ditemui dalam pelbagai jenis makanan terutamanya dalam sayur–sayuran dan buah-buahan malah terdapat juga dalam rempah-rempah masakan.  Amalan atau kebiasaan kita untuk mengambil makanan yang mengandungi banyak antioksidan akan membantu mengelakkan terbentuknya radikal bebas dan membantu mengurangkan kerosakan sel dan tisu tubuh.

Melalui buku bertajuk 'Tanaman Berkhasiat Antioksidan' ini, penulis menekankan bagaimana pentingnya antioksidan itu kepada tubuh kita untuk kekal sihat. Buku ini  turut membincangkan 6 bab penting yang perlu kita ketahui supaya setiap informasi yang diperoleh dapat kita manfaatkan untuk kesihatan yang lebih baik. Dalam buku ini juga turut membincangkan  tentang hubungan antara makanan dan kesihatan, antioksidan, fungsi dan peranannya dalam kesihatan, amalan pengambilan antioksidan dalam penggunaan dalaman dan luaran, unsur-unsur antioksidan, tanaman sumber antioksidan dan saranan penggunaan harian.

Informasi tentang Tanaman Sumber Antioksidan seperti tanaman jenis sayuran, tanaman buah-buahan, tanaman jenis rempah dan beberapa jenis tanaman lain mengandungi antioksidan yang penting untuk tubuh, telah disenaraikan dengan terperinci bagi membantu pembaca mengenali fungsi dan khasiat tanaman tersebut. Gambar-gambar berwarna tumbuhan antioksidan juga turut disertakan supaya pembaca mudah mengenalinya.

Tumbuhan antioksidan boleh digunakan untuk mencegah pelbagai penyakit kronik tetapi pengambilan yang berlebihan boleh memudaratkan tubuh kita. Oleh itu sangat penting membaca buku ini kerana dalam bab yang terakhir dinyatakan cara pengambilan antioksidan yang sesuai untuk keperluan tubuh kita.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini  dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.