Select your language

Teknik Menulis Cadangan Penyelidikan: Pendidikan Teknik Dan Vokasional

Penulis
Maizam Alias

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2017.  237 muka surat.

 


 

Ulasan oleh Turly Tony, Latihan Industri, UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Menurut Ruhizan Mohd Yasin dan Maizam Alias (2010), penyelidikan dimaksudkan proses mengumpul dan menganalisis maklumat secara sistematik, yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman penyelidik tentang sesuatu fenomena yang dikaji. Buku bertajuk “Teknik Menulis Cadangan Penyelidikan” ini menjelaskan secara terperinci tentang kaedah dan teknik yang berkesan dalam menyediakan cadangan penyelidikan.

Buku ini juga sesuai dijadikan panduan dan rujukan kepada para pembaca yang ingin menjalankan penyelidikan dalam pendidikan teknik dan vokasional. Malah, pembaca akan dibimbing langkah demi langkah bagi menghasilkan penulisan cadangan penyelidikan yang sesuai dengan keperluan penyelidikan. 

Menurut penulis, dalam menghasilkan cadangan penyelidikan pendidikan, terdapat lima aspek yang perlu ada ialah aspek kerelevanan penyelidikan, kebolehlaksanaan, kecukupan masa, kecukupan data dan kemampuan penyelidik. Seterusnya, mengenal pasti pemboleh ubah penyelidikan pendidikan teknik dan vokasional dan menjalankan aktiviti menganalisis data yang bertepatan dengan jenis data, tujuan kajian dan reka bentuk kajian.

Buku ini juga turut menerangkan bahawa aktiviti yang terakhir dalam menyediakan cadangan penyelidikan ialah menulis laporan yang memerlukan kemahiran penulisan ilmiah. Kemahiran penulisan ilmiah ialah komponen kemahiran dan pengetahuan ketiga yang diperlukan dalam menyediakan dokumen cadangan penyelidikan pendidikan teknik dan vokasional.

Buku ini juga menerangkan perbezaan antara kaedah penyelidikan dan metodologi penyelidikan di mana kaedah penyelidikan merujuk kepada alat, teknik, prosedur, dan proses untuk melakukan penyelidikan manakala metodologi penyelidikan pula merujukan kepada prinsip, teori serta nilai yang menjadi asas pendekatan penyelidikan. Penulis menjelaskan bahawa terdapat enam aktiviti utama penyelidikan dan subaktiviti yang berkaitan, iaitu membuat sorotan literatur, mengenal pasti permasalahan kajian, merancang aktiviti penyelidikan, mengumpul data, menganalisis data dan menulis laporan.

Dua bab yang menarik adalah di bab keenam yang menerangkan cara penulisan bab metodologi cadangan kajian. Penulis menjelaskan bahawa bab metodologi adalah cadangan penyelidik tentang kaedah dan langkah-langkah mengumpul data bagi mencapai maklumat kajian seperti reka bentuk kajian, sampel kajian, peralatan kajian dan kaedah analisis data. Malah, buku ini juga menerangkan bahawa struktur bagi bab metodologi berfungsi memberikan gambaran awal dalam usaha memerihalkan metodologi kajian yang bakal digunakan oleh pengkaji. Penulis juga menyatakan bahawa untuk menulis isi utama metodologi cadangan perlulah mempunyai elemen-elemen seperti reka bentuk kajian yang dipilih dan justifikasi pemilihan, populasi dan sampel, kaedah pensampelan yang akan digunakan, justifikasi pemilihan sampel dan kaedah pensampelan, teknik, prosedur, peralatan dan bahan-bahan lain yang akan digunakan dalam penyelidikan, batasan dan andaian kajian, kesahan instrumen pengukuran, jangkaan dapatan penyelidikan dan jadual cadangan kemajuan penyelidikan.

Seterusnya, bab kelapan adalah format dan susun atur laporan cadangan penyelidikan. Penulis menjelaskan bagi format dan susun atur penulisan cadangan penyelidikan haruslah mematuhi kehendak institusi pendidikan dan kebiasaannya institusi pendidikan berkenaan mempunyai garis panduan khusus mengenai format penulisan cadangan penyelidikan yang perlu dipatuhi. Penulis juga mengharapkan pembaca khususnya pengkaji atau pencadang dapat memahami format dan susun atur penulisan ilmiah yang biasa digunakan iaitu saiz jidar, sistem penomboran dan cara penggunaan jadual serta rajah.

Penulis juga telah menyediakan lampiran-lampiran yang dapat membantu para pembaca untuk lebih memahami teknik dan kaedah penulisan cadangan penyelidikan. Buku ini juga mempunyai indeks yang memudahkan pencarian pembaca terus ke topik tersebut.

Secara kesimpulannya, buku ini sangat sesuai untuk pembaca yang ingin menjalankan penyelidikan kerana buku ini menyediakan teknik dan kaedah yang sesuai digunakan oleh para penyelidik. Dengan adanya buku ini, nescaya pembaca akan mempunyai panduan dalam menyediakan cadangan penyelidikan mereka malah cadangan penyelidikan akan diterima dengan baik oleh penilai. Bukan itu sahaja, buku ini juga mendedahkan maklumat mengenai pendidikan teknik dan vokasional dan hal sebegini dapat membantu pembaca yang berminat dengan pendidikan dapat mengetahui jenis bidang apa yang mereka minati.

Oleh yang demikian, untuk mengetahui secara lanjut lagi mengenai buku ini, sila layari laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my  atau hubungi kami di talian 088-231623/ 214828/ 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Walau bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu. Sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Banyak orang, di antaranya saya, merasa lebih baik hanya dengan melihat sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.