Select your language

273 Ramuan Tradisional mengatasi Pelbagai Penyakit

Penulis
Sidang redaksi AgroMedia

Terbitan
Synergy Media, 122 muka surat

 

Ulasan oleh Jusiah Idang Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah

Buku bertajuk 273 Ramuan Tradisional Untuk Mengatasi Pelbagai Penyakit memberi panduan kepada para pembaca mengenai perubatan alternatif dengan menggunakan ramuan-ramuan tradisional yang sangat mudah didapati di negara kita Malaysia.  Penulis menyajikan pelbagai tatacara penyediaan bagi penyakit-penyakit tertentu.  Penggunaan material berwarna, bergambar dengan kertas berkualiti menjadikan first impression yang menarik mengenai buku ini.

Objektif penulisan buku ini adalah untuk membekalkan pengetahuan mengenai sajian aneka jenis jus daripada buah-buahan bagi membantu mencegah serta mengubati pelbagai penyakit.  Penulis yakin dan percaya bahawa sumber alam kurniaan Tuhan ini sepatutnya dimanfaatkan semaksimum yang mungkin bagi menjamin kesihatan yang berpanjangan.  Cadangan pada amalan hidup sihat dengan pengambilan jus buah-buahan secara segar dan mencukupi bagi bekalan tubuh badan akan meningkatkan kefungsian badan serta membantu mencegah, serta menyembuh pelbagai penyakit.  Dengan keyakinan dan kepercayaan tersebut, maka penulis telah mencadangkan pelbagai jenis ramuan yang memberi manfaat pada keseluruhan anggota tubuh badan manusia.

Penyusunan bab telah dilakukan dengan rapi bagi memudahkan pembaca ‘berkenalan’ dengan hadiah sumber alam tersebut.  Subtopik-subtopik disediakan dalam bentuk soalan terbuka yang turut menanamkan minat pembaca untuk menggali pembacaan dengan lebih dalam lagi.  Soalan-soalan seperti, Apakah yang dimaksudkan dengan ramuan tradisional? Bilakah ramuan tersebut digunakan? Haruskah kita mempercayai kaedah perubatan tradisional berbanding kaedah perubatan moden? dan beberapa lagi.  Penulis turut memaparkan penerimaan khasiat penggunaan ramuan-ramuan tradisional ini sebagai merentas benua daripada negara Jepun, China, Malaysia, Indonesia dan beberapa lagi. 

Penulis berupaya membangkitkan minat pembaca dengan mengorganisasikan maklumat secara sistematik, tersusun serta mudah difahami.  Penyusunan maklumat bergambar, menggunakan jadual serta menyediakan nama-nama tempatan di samping nama saintifik ramuan-ramuan yang telah dibincangkan.  Melalui pembacaan, pembaca secara tidak langsung memeriksa diri mereka sendiri bagi mengetahui adakah terdapat gejala-gejala tertentu yang dialami.  Penulis turut menyenaraikan pelbagai jenis penyakit berserta simptom dan ramuan yang sesuai digunakan.  Setiap penyakit yang disenaraikan, penulis telah mencadangkan lebih daripada satu contoh cara penyediaan ramuan tradisional yang boleh dimanfaatkan.  Contohnya, penyakit asma atau lelah, sebanyak 14 jenis ramuan yang pelbagai dicadangkan serta cara penyediaan.

Paparan maklumat mengenai ramuan-ramuan tersebut telah disusun atur dalam bab-bab bagi memudahkan para pembaca mendapatkan maklumat.  Dalam bab pertama, penulis menerangkan tentang perkembangan ramuan tradisional di Malaysia.  Dalam bab ini, penulis cuba membincangkan sejak bilakah ramuan tradisional digunakan untuk perubatan?  Walaupun tidak terdapat sumber yang sahih, namun penulis yakin bahawa penemuan khasiat perubatan secara ramuan tradisional ini adalah diwarisi sejak turun-temurun.  Penulis juga cuba menjawab persoalan jika benar dakwaan bahawa ramuan tradisional sudah ketinggalan zaman.  Kecenderungan ‘Back to nature’, kini menjadikan bahan-bahan tradisional semakin mendapat sambutan yang menggalakkan.

Manakala, dalam bab kedua, penulis menyenaraikan beberapa jenis penyakit yang sering dihadapi di zaman moden ini.  Sebelum mengambil ramuan tradisional, adalah perlu bagi memastikan terlebih dahulu jenis penyakit serta gejala yang ditunjukkan oleh pesakit.  Dengan cara tersebut, ramuan tradisional yang bersesuaian boleh diberikan kepada pesakit bagi mengubati masalahnya.  Penulis juga memberikan panduan cara-cara memilih dan menentukan jenis tanaman yang digunakan.  Sebagai contoh, penulis menyenaraikan 21 jenis tanaman yang daunnya mempunyai manfaat yang tidak terhingga seperti saderi, betik, sirih dan jambu.  Selain memperkenalkan manfaat tanaman dari segi daunnya, penulis juga memperkenalkan faedah-faedah lain seperti faedah daripada kulit batang, buah, biji, dan akar,

Dalam bab–bab yang seterusnya, penulis telah memaparkan informasi berkaitan dengan ramuan-ramuan yang bersesuaian dengan bahagian anggota badan manusia iaitu ramuan yang sesuai untuk penyakit telinga, hidung, kerongkong dan penyakit bahagian bawah saluran pernafasan; ramuan untuk penyakit anemia dan kekurangan nutrient; dan ramuan untuk pelbagai penyakit kulit.  Kecantikan idaman setiap wanita, maka tidak dilupakan ramuan yang membantu meningkatkan kecantikan wanita seperti ramuan yang menggalakkan pada kelangsingan badan, menghitamkan rambut, menyegarkan tubuh, menghilangkan kekotoran di wajah dan mengatasi masalah bau mulut.  Ramuan untuk penyakit pada organ reproduksi wanita juga dipaparkan bagi membantu menangani masalah-masalah yang sering dihadapi oleh para wanita seperti masalah keputihan, sakit sewaktu datang haid, masalah lambat datang haid, masalah radang rahim dan pundi kencing serta menopause.  Manakala, bab yang terakhir penulis turut memberikan resepi-resepi bagi membuat ramuan tradisional yang sangat sesuai dengan pelbagai penyakit degeneratif seperti penyakit jantung, diabetes mellitus dan penyakit buah pinggang.  Dengan maklumat yang lengkap mengenai cara penyediaan dan kaedah penggunaan, sudah pasti meningkatkan pengetahuan dan tidak mustahil menggalakan para pembaca untuk mencuba. 

Oleh yang demikian, untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, sila layari laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.ssl.sabah.gov atau hubungi talian 088-231623, 214828,  256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.