Select your language

Apa yang perlu anda ketahui tentang Fibroid

Penulis
Nik Hazlina Nik Hussain, Nur Dalilah Mohd Zin dan Nuraini Sk Abdul Jamal

Terbitan
Dewan Bahasa Dan Pustaka
99 muka surat

 

ulasan oleh MJ

Fibroid merupakan satu daripada masalah sakit puan atau masalah ginekologi dalam kalangan wanita. Namun begitu, ramai wanita tidak mengetahui dan memahami dengan jelas apa sebenarnya penyakit fibroid ini. Buku bertajuk ‘Apa yang anda perlu ketahui tentang Fibroid’ mengupas segala masalah yang berhubung kait dengan pelbagai jenis fibroid, kesan fibroid, kaedah rawatan, kaedah ubatan serta langkah untuk menghadapi ketidakselesaan dengan fibroid."

Ketumbuhan fibroid mampu menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah usia 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peristiwa dalam lingkungan usia reproduktif, iaitu antara 30 – 40 tahun menghidap fibroid. Pada usia melebihi 35 tahun, kejadian fibroid berlaku secara lebih kerap menjangkau 40 peratus.

Menurut penulis, terdapat beberapa jenis fibroid yang lazimnya di temui dalam diri wanita. Antaranya,  fibroid submukosa iaitu yang terdapat di bawah lapisan rahim.  Submukosa merupakan lapisan di sekitar mukosa yang berisi pembuluh darah dan saraf yang berfungsi mendukung jaringan di sekitarnya. Apabila membesar boleh menyebabkan masalah kesakitan yang dialami apabila didatangi haid. Manakala fibroid subserosa  pula ialah fibroid yang tumbuh di luar dinding rahim dan selalunya tidak menyebabkan sebarang tanda sehinggalah saiz pembesarannya mengganggu organ lain yang berdekatan seperti pundi kencing dan usus.  Akibatnya, seseorang wanita sering kali tidak dapat mengawal kencing atau masalah kerap kali hendak kencing. Malahan ada juga kes yang berlaku mengakibatkan wanita mengalami masalah sembelit yang teruk disebabkan perjalanan usus besar yang tidak lancar akibat tekanan fibroid.

Kebanyakan wanita yang mengalami fibroid tidak mempunyai simptom. Walau bagaimanapun, kira-kira 20 – 30 peratus penghidap fibroid mungkin menunjukkan simptom.  Antara simptom yang sering dialami oleh penghidap fibroid berlakunya perubahan haid, tekanan pada organ, saiz perut dan rahim membesar, masalah keguguran dan masalah infertiliti. Simptom perubahan haid paling kerap dialami oleh penghidap fibroid yang menyebabkan tempoh haid wanita lemah mengalami perdarahan yang berlebihan dan disertai ketulan-ketulan darah beku berbanding dengan wanita yang teratur haidnya.

Fibroid sejenis ketumbuhan berisi gumpalan otot seperti otot dinding rahim dengan saiz beberapa milimeter boleh membesar seperti seorang bayi.  Fibroid yang kecil tidak menimbulkan simptom atau masalah sehingga mengganggu kesihatan.  Hidup dengan fibroid tidak bermakna dunia wanita itu akan berakhir.  Ironinya, tiada cara yang boleh dilakukan untuk menghindar fibroid kerana ia tiada kaitan dengan pemakanan atau gaya hidup dan juga bukanlah sejenis penyakit keturunan.

Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua wanita demi melengkapkan diri dengan pengetahuan untuk berhadapan dengan masalah fibroid. Gaya  penulisan yang mudah difahami mampu memberi penerangan yang jelas. Semoga buku ini mampu menjadi penyuluh jalan wanita.

Untuk mendapatkan buku ini sila lawati laman web Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my  atau hubungi   088-231623 / 214828 / 256192  untuk mengetahui ketersediaan buku ini.  Oleh kerana buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu,  sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.