Select your language

Variasi Hiasan Bunga Felt

Penulis
Norliza Samingon

Terbitan
GRUP BUKU KARANGKRAF SDN. BHD., 224 Muka Surat.

 

Ulasan oleh Clare Lieanna Jupili, Latihan Industri, UiTM Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Buku bertajuk Variasi Hiasan Bunga Felt telah ditulis oleh seorang bekas jurutera teknologi maklumat, yang sangat meminati bidang kesenian sejak kecil. Keputusan penulis untuk berjinak-jinak dengan dunia seni felt bermula ketika sedang hamil anak yang kedua. Keinginan untuk mencari “soft book” atau buku bayi untuk anaknya menjadi pencetus penglibatan beliau dalam seni kraf tangan felt. Aktivitinya semasa menghasilkan buku bayi anaknya telah mencuri perhatian para ibu dan mula mendapat tempahan. Beliau yang bermula dengan melihat tutorial dalam talian sehinggalah berupaya mengadakan kelas seni felt, kini semakin ligat menguruskan tempahan-tempahan felt yang kian bertambah.

Awalnya, felt digunakan dalam industri automotif, alat muzik dan pembinaan rumah. Namun, akhir tahun 2010 menunjukkan perkembangan teknologi telah menginovasi kegunaan felt menjadi seni kraf tangan yang kian popular dan bernilai tinggi. Seni kraf tangan ini mudah dipelajari oleh setiap golongan usia termasuk kanak-kanak seawal umur 5 tahun, selain ia juga selamat untuk kegunaan anak kecil. Meskipun seni ini terlihat mudah, namun ia memerlukan daya kreativiti yang tinggi bagi menghasilkan produk yang menarik dan bermutu. Beberapa produk felt yang boleh dihasilkan ialah cendera hati, aksesori, alat bantuan mengajar, pakaian, dan produk hiasan dalaman rumah.

Inti pati awal buku ini membawa pembaca untuk mengimbau sejarah terhasilnya felt dan bahan asas pembuatannya. Penulis telah menyenaraikan beberapa jenis felt, antaranya ialah Wool Felt. Wool Felt diperbuat daripada 100% bulu kambing biri-biri, namun harganya mahal, sukar didapati, dan hanya terdapat di negara Eropah dan Jepun. Felt jenis kapas ini merupakan felt yang terbaik dan sangat fleksibel, sesuai digunakan untuk menghasilkan pakaian musim sejuk dan kasut bayi. Jenis felt seterusnya ialah Wool Blend. Felt jenis ini terhasil melalui campuran bulu kambing biri-biri dengan bahan seperti rayon iaitu kayu pulpa polimer semula jadi. Satu keburukan Wool Felt ialah ia akan mengecut apabila dibasuh. Seterusnya ialah Eco-felt. Merujuk namanya, Eco-felt ini diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula. Felt jenis ini tidak sesuai digunakan untuk dibuat pakaian kerana dikhuatiri boleh merengsakan kulit. Penggunaannya lebih sesuai dalam industri pembuatan bahan asas perabot dan permaidani. Selain itu, felt akrilik merupakan jenis felt yang lebih diminati dalam pembuatan bantal perhiasan, pakaian hiasan rumah dan dekorasi buah-buahan kerana ciri-cirinya yang ringan, lembut dan warnanya yang tidak mudah luntur. Felt jenis ini dibuat melalui campuran akrilik dan gentian polimer (akrilonitril) yang diperbuat daripada gas asli dan petroleum. Akhir sekali ialah Felt Poliester. Felt jenis ini sama seperti Felt Akrilik, mudah didapati, murah serta mempunyai variasi pilihan saiz dan warna. Keistimewaan felt ini ialah ia lebih keras, tahan lasak dan sesuai untuk jahitan tangan dan mesin.

Dalam buku ini juga, penulis turut memberi penerangan mengenai alat-alat yang diperlukan untuk membuat seni kraf tangan felt. Alatan tersebut ialah pita pelekat, mesin jahit, mesin sizzix bigshot, gunting mata scallop, tali jut, benang sulam dan sebagainya. Sesudah itu, barulah penulis menunjukkan cara penghasilan bunga-bunga felt. Proses-proses pembuatan felt ini diterangkan dengan bantuan gambar dan arahan telah diberikan langkah demi langkah bagi memudahkan para pembaca untuk menghasilkan hiasan felt yang sempurna. Bahan dan peralatan yang diperlukan turut dijelaskan secara terperinci. Terdapat lebih 30 variasi bunga yang ditampilkan di dalam buku ini. Antaranya ialah Bunga Butang, Bunga Calla Lily, Bunga Kaktus, Bunga Lavender, Bunga Matahari, Bunga Pom-pom Bulat, Bunga Sakura dan banyak lagi. Bunga-bunga yang terhasil kelihatan begitu cantik dan menarik apabila diolah mengikut kreativiti si pembuat.

Bukan itu sahaja, penulis juga menjelaskan jenis-jenis jahitan tangan yang digunakan dalam penghasilan seni kraf tangan ini. Jahitan-jahitan itu ialah jahitan kia, jahitan jelujur, jahitan sembat, jahitan insang pari dan french knot yang umumnya digunakan untuk membuat simpul pada pola. Ukuran dan cara menggunting felt turut dijelaskan, bertujuan untuk membantu memberi panduan kepada pemula seni felt.

Buku ini sangat berinformasi dan berguna untuk membantu setiap individu yang ingin mengasah tahap kreativiti serta bakat yang dimiliki untuk bermain-main dengan felt dan gunting. Buku ini sesuai dibaca oleh individu yang berkeinginan untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan, selain boleh dijadikan bahan rujukan untuk pelajar seni jahitan. Hal ini adalah kerana bahasa yang digunakan oleh penulis sangat mudah difahami, disertai dengan gambar berwarna yang membantu kefahaman pembaca. Tip-tip penting turut diberikan oleh penulis untuk mengelakkan kesilapan semasa membuat gubahan bunga felt ini.

Sekiranya anda berminat untuk mempelajari cara-cara menghasilkan aneka bentuk hiasan bunga felt anda boleh mendapatkan buku ini di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat dengan melayari laman sesawang www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik." - Joseph Addison

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.