Select your language

Variasi Seni Kraf Sabun

Penulis
Azmawati Zohri

Terbitan
GRUP BUKU KARANGKRAF SDN. BHD, 2013.  98 Muka Surat

 

Ulasan oleh Clare Lieanna Jupili Thomas, Pelatih Industri, UiTM Rembau, Cawangan Negeri Sembilan 

Seni rekaan kreatif sabun atau juga dikenali sebagai ‘melt and pour soap' ini telah lama dikenali di Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Australia. Seni ini semakin popular apabila reka bentuk dan teknik baru dicipta. Hal ini demikian kerana bahan yang digunakan lebih bersifat semula jadi, lembut dan selamat berbanding sabun-sabun yang terdapat di pasaran.

Tanggapan negatif yang mengatakan seni ini rumit dan memerlukan modal yang tinggi adalah salah sama sekali. Sebaliknya, seni rekaan kreatif sabun ini begitu mudah dan menyeronokkan serta sesuai untuk dilakukan sebagai aktiviti masa lapang bersama keluarga tercinta. Sabun yang cantik dan unik mampu dihasilkan dengan berbekalkan daya imaginasi dan sentuhan kreatif. Sabun aneka warna ini cukup lembut untuk dijadikan sebagai sabun mandian, sabun pencuci tangan, digunakan di muka dan juga kulit bayi. Beberapa bahan yang boleh digunakan untuk menambah keberkesanan sabun ini ialah minyak pati bernutrien seperti lavender, ylang-ylang, minyak zaitun, minyak jojoba, vitamin E dan sebagainya.

Tiada pembaziran dalam menghasilkan seni kreatif ini kerana sabun tersebut boleh dicairkan dan dibekukan semula mengikut bentuk yang disukai. Umumnya, sabun terhasil daripada tindak balas kimia antara lemak haiwan, minyak tumbuhan atau soda kaustik seperti Natrium Hidroksida (NAOH). Walau bagaimanapun, pengguna seharusnya berhati-hati dengan ‘Lye' kerana ia mempunyai sifat menghakis yang berpotensi untuk memberi kesan buruk seperti kulit melecur.

Penulis turut membawa pembaca untuk menelaah dua kaedah penghasilan sabun iaitu Proses Dingin dan Proses Panas. Penjelasan lanjut boleh diperoleh melalui buku ini. Sabun buatan sendiri ini memiliki banyak manfaat dan khasiat yang diperlukan oleh kulit iaitu kaya dengan gliserin iaitu pelembab semula jadi yang terhasil melalui campuran “Lye” bersama minyak. Biasanya, kandungan gliserin ini hampir tiada pada sabun komersial kerana telah diekstrak keluar untuk kegunaan pembuatan produk kecantikan seperti krim penjagaan dan rawatan muka kerana harga pasarannya yang lebih tinggi berbanding sabun.

Selanjutnya, pembaca turut didedahkan dengan cara pemilihan gliserin terbaik, pemilihan pewarna sabun, dan juga pewangi sabun. Gliserin yang terbaik diperlukan bagi menjamin kualiti dan kegunaan pada kulit manusia bagi mengelakkan berlakunya iritasi. Terdapat tiga jenis pewarna sabun iaitu pewarna cecair, pewarna pigmen, dan pewarna semula jadi. Ketiga-tiga jenis pewarna ini mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri.

Pemilihan pewangi sabun juga perlu diberikan perhatian kerana pemilihan haruman yang salah akan mendatangkan kesan buruk pada kulit. Beberapa pilihan pewangi sabun yang boleh dipilih ialah minyak wangi yang umumnya lebih murah. Namun begitu, penulis menyarankan bahawa penggunaan minyak pati adalah lebih baik bagi memastikan kualiti dan manfaat sabun digunakan ke tahap yang maksima.

Peralatan-peralatan lain yang digunakan untuk menghasilkan sabun termasuklah tuala kecil atau tisu dapur, sudu, pisau pemotong, penimbang dan sebagainya. Acuan sabun perlulah tahan panas, sebaiknya menggunakan acuan yang mudah lentur. Contoh jenis acuan yang boleh digunakan ialah acuan ais, acuan coklat dan acuan kuih. Penggunaan bekas yang berbeza akan menghasilkan kesan akhir yang berbeza. 

Sebelum memulakan penghasilan sabun, langkah asas dan tip diberikan oleh penulis melalui penerangan bergambar. Buku bertajuk 'Variasi Seni Kraf Sabun' ini memuatkan 11 seni rekaan sabun yang menarik dan 3 jenis rekaan sabun khusus untuk kecantikan. Antara rekaan sabun berikut ialah Sabun Pelangi, Sabun Kabus Mentari, Sabun Retro, Sabun Nata De Coco, Sabun Kek Cawan dan banyak lagi. Selain itu, sabun untuk kecantikan ialah Sabun Sental Gula, Sabun Oren Avokado dan Sabun Spa Mawar.

Kini, sesiapa pun mampu memiliki kulit yang halus dan cantik dengan bahan-bahan yang ada di dapur. Selain menjimatkan perbelanjaan berbanding membeli produk penjagaan kulit di pasaran, sabun hasil tangan sendiri jauh lebih selamat dan kebersihannya juga lebih terjamin. Malah, kesan yang diperolehi juga setanding sabun-sabun komersial berjenama yang jauh lebih mahal. Beberapa khasiat yang ada dalam bahan semula jadi yang digunakan untuk menghasilkan sabun ini telah dijelaskan untuk pengetahuan umum para pembaca.

Siapa kata menjalankan perniagaan di rumah memerlukan kelas dan kos yang tinggi? Maklumat  di hujung jari dan kesungguhan yang tinggi membuktikan sesiapa sahaja mampu berniaga secara kecil-kecilan dari rumah. Inspirasi boleh di ambil daripada penulis buku ini. Kesungguhan dan kerajinan beliau dalam mencari maklumat secara atas talian dan mencari buku-buku dari luar negara berkaitan seni kreatif ini perlu dijadikan contoh. Bemula dengan penghasilan dua jenis sabun sahaja, beliau kini telah menjadi pembekal utama barang-barang keperluan untuk membuat sabun, selain menjadi seorang tenaga pengajar berpengalaman dalam bidang ini.         

Kesimpulannya, buku ini boleh menjadi sumber idea dan pemberi semangat kepada pemula seni kreatif sabun kerana ia sarat dengan maklumat dan penjelasan langkah demi langkah berserta ilustrasi berwarna yang menarik. Penggunaan bahasa yang mudah dan formal memudahkan para pembaca untuk menerokai dan memahami intipati buku ini. Di samping itu, buku ini boleh dijadikan sebagai bahan bacaan ringan pada masa senggang selain amat sesuai dijadikan rujukan kepada individu yang ingin memulakan perniagaan dari rumah.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang buku ini dan isi kandungannya, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku tersebut. Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

 

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Banyak orang, di antaranya saya, merasa lebih baik hanya dengan melihat sebuah buku."

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.