Daftar sebagai ahli sekarang dan nikmati akses percuma pelbagai koleksi eResources kami!
eSumber Kami
Tutorial | Tutorial |
eSumber Lain
Tutorial |
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Alimah Binti Awang Saleh, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sandakan
Keluarga asas ialah satu institusi sosial yang terbina hasil daripada perkahwinan lelaki dan perempuan mengikut hukum adat atau hukum agama atau undang-undang sivil. Lazimnya, dalam keluarga asas atau keluarga konjugal ada bapa, ibu dan anak-anak. Sekiranya terjadi penceraian dan perpecahan rumah tangga secara langsung akan mewujudkan keluarga ibu tunggal. Hal ini secara tidak langsung akan memberi impak dan kesan kepada tingkah laku anak-anak disebabkan kekurangan kasih sayang dari seorang bapa.
Keluarga ibu tunggal atau single mother's family sering dipersepsikan oleh masyarakat sebagai keluarga berisiko (at risk family), atau keluarga tidak fungsional (dysfunctional family), atau keluarga pincang (disadvantaged family). Hal ini disebabkan keluarga ibu tunggal diketuai oleh ibu sahaja, tanpa ada kekuatan dan sokongan oleh bapa yang sering dianggap umum sebagai tunggak yang menyara dan melindungi keluarga. Oleh yang demikian, anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga seperti ini menghadapi lebih banyak masalah kritikal berbanding dengan anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga biasa dengan ibu dan bapa bersama-sama membina keluarga bahagia. Namun takdir dan rencana hidup manusia mewujudkan keluarga ibu tunggal sejak zaman berzaman, iaitu keluarga jenis ini bukanlah satu fenomena baru dalam masyarakat.
Buku yang bertajuk Masalah Remaja Daripada Keluarga Ibu Tunggal ini adalah keprihatinan penulis tentang kewujudan nasib dan keadaan hidup keluarga ibu tunggal. Keprihatinan penulis sebagai pengarang dan pengkaji, berfokus kepada masalah dan keresahan anak-anak yang hidup dalam keluarga sedemikian. Peranan penulis juga memaparkan kepada masyarakat tentang masalah utama yang diharungi oleh pelajar remaja daripada keluarga ibu tunggal.
Tujuan penulis berbuat demikian bukan hendak meraih simpati tetapi hendak membina kefahaman dan kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya para guru dan kaunselor tentang masalah hidup dan masalah pendidikan remaja daripada keluarga ibu tunggal. Kefahaman itu akan melupuskan sikap negatif dan prejudis serta dapat membina strategi dan cara untuk membantu remaja untuk menjadi orang berjaya, berjasa kepada bangsa dan negara pada masa hadapan.
Buku ini begitu menarik bagi saya kerana buku ini merupakan satu monograf kajian mengenai masalah pelajar daripada keluarga ibu tunggal. Kajian yang dipaparkan dalam monograf ini telah menggunakan soal selidik dan temu ramah untuk mendapatkan data. Kajian ini berfokus kepada sebelas bidang masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar remaja (sekolah menengah) daripada keluarga ibu tunggal di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.
Satu implikasi penting yang terdapat dalam buku ini adalah remaja daripada keluarga ibu tunggal memerlukan bantuan kaunselor sekolah, guru-guru dan ibu mereka dalam proses penyesuaian diri di sekolah, dalam proses pembelajaran sains dan matematik dan dalam proses hubungan dalam keluarga. Konsep pembimbing rakan sebaya juga wajar diamalkan dalam proses kaunseling kerana menurut kajian, remaja mengutamakan rakan-rakan mereka bukannya guru atau ibu untuk menyelesaikan masalah mereka.
Buku ini sesuai dibaca oleh pelajar dan juga pelbagai lapisan masyarakat kerana penulisan yang ringkas, padat dan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Buku ini terdapat dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sandakan. Sekiranya berminat untuk membuat tempahan pinjaman buku boleh menghubungi talian 089-229415 atau berkunjung di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Elvena Lee, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang
Apabila kita menyebut tentang aktiviti perkhemahan tentu sahaja yang terlintas di fikiran kita adalah memasang khemah dan peralatan-peralatan yang perlu digunakan untuk memasang khemah. Kebiasaannya, kegiatan perkhemahan rekreasi ini dilakukan oleh golongan dewasa untuk mendapatkan ketenangan dari kesibukan kota. Buku ini bukan sahaja memberi panduan asas dalam perkhemahan tetapi juga kaedah-kaedah dalam pertolongan cemas dan ikhtiar hidup.
Sebelum menjalankan aktiviti perkhemahan, terlebih dahulu kita perlu merancang dengan baik dalam pemilihan tapak perkhemahan, keadaan cuaca, peralatan dan keperluan, atur cara aktiviti dan disiplin perkhemahan. Seterusnya, kita perlu mengenal pasti bilangan orang yang terlibat untuk memudahkan kita memilih jenis khemah yang sesuai. Pemilihan khemah haruslah berdasarkan saiz, bahan fabrik dan peredaran udara. Antara keperluan peralatan yang penting adalah seperti baju yang secukupnya, air minum, kompas, wisel, tali, telefon, mancis, bekalan makanan, dapur gas kecil dan lain-lain. Peralatan dan keperluan harian tidak semestinya dibawa dari rumah kerana ia boleh dibuat daripada bahan-bahan di persekitaran kita. Contohnya, buluh, rotan, batang kayu, tin kosong dan batu dapat membina dapur kaki tiga, ampaian dan dapur trapper.
Disamping itu, kita juga perlu mengenali jenis ikatan simpul seperti simpul manuk, simpul dua lilit dan simpul himpit untuk memudahkan kita mendirikan gejek ( alat perkhemahan bagi menggantikan peralatan dan perabot di rumah ). Bukan itu sahaja, kotak pertolongan cemas mesti dibawa bersama dan harus mengandungi gunting, dettol, kain pembalut, pin, plaster, panadol, burnol, antiseptic cream, mosquito repellant dan minyak angin. Sekiranya berlaku kecemasan, kita perlu tahu akan rawatan asas iaitu Cardiopulmonary resuscitation ( CPR ). Untuk sumber makanan pula boleh didapati daripada tumbuhan di sekitar kita seperti kantan, pisang hutan, buah tampoi, buah melinjau, buah salak dan buah nam-nam. Jika berlaku kecemasan, selamatkan diri terlebih dahulu dan minta bantuan melalui teriakan dan lampu kecemasan iaitu lampu suluh. Kesimpulannya, aktiviti perkhemahan merupakan aktiviti yang sarat dengan pelbagai aktiviti yang mampu memberikan asas kepada semua orang untuk berdikari semasa berada jauh dari bandar.
Buku ini sesuai untuk bacaan umum dan sangat bermanfaat kepada sesiapa sahaja yang merancang untuk menjalankan aktiviti perkhemahan. Buku ini juga merupakan salah satu koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Cawangan Sipitang. Untuk tempahan dan pinjaman, hubungi kami di talian 087-821003 atau berkunjung ke perpustakaan yang terdekat. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my dan hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Sahara Binti Hamid, Perpustakaan Negeri Sabah, PPT Library@UTC
Dadah ialah bahan yang amat berbahaya jika disalahgunakan. Hal ini disebabkan dadah mengubah cara minda dan tubuh manusia berfungsi. Ia juga sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi fizikal, mental, emosi, dan serta tingkah laku. Akibatnya, akan menyebabkan ketagihan dan terus bergantung hidup kepadanya.
Tanpa kita sedari, kita mungkin telah menggunakan beberapa jenis dadah dalam hidup kita, Ubat-ubatan seperti “paracetamol” dan “antibiotik” membantu menyembuhkan anda sekiranya anda tidak sihat. Termasuk juga “teh, kopi dan coklat” juga mengandungi sejenis dadah ransangan yang dikenali sebagai “caffeine”. Walaubagaimanpun, dadah ransangan seperti ini tidak mengakibatkan ketagihan yang bermasalah kepada individu, masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, penggunaan bahan minuman dan makanan ini tidak salah disisi undang-undang.
Terdapat banyak kesan buruk akibat ketagihan dan penyalahgunaan dadah. Akibat yang jelas ialah dari segi tingkat laku diri penagih itu sendiri. Penagih akan mula menjauhkan diri daripada masyarakat umum dan hanya bergaul dengan kumpulan penagih dadah, penjenayah serta penipu. Mereka akan melupakan tanggungjawab kepada kerja atau persekolahan dan berusaha mengasingkan diri.
Daripada segi fizikal, penagih lama-kelamaan akan menjadi kurus, lemah tenaga, malas dan kelihatan berada dalam khayalan. Penagih juga boleh kehilangan tenaga, pitam, pengsan, berperasaan ganas, berasa ketagihan yang berlebihan, sakit perut dan berkemungkinan boleh mengakibatkan maut kerana menjadi lemah dan mereka mudah dijangkiti pelbagai jenis penyakit seperti kancing gigi, mandul dan sebagainya.
Pengambilan dadah yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit mental. Antaranya ialah dadah jenis syabu dan ganja menyebabkan delusi. Penyakit mental ini sekiranya tidak ditangani boleh membawa padah kepada diri sendiri dan orang sekeliling.
Dadah dan masalah mental akan saling berhubung kait. Begitu juga dengan mereka yang ketagihan alkohol. Implikasi buruk ini kadangkala sehingga ke peringkat melakukan keganasan atau halusinasi sehingga penagih tidak pernah sedar akan apa yang dilakukannya. Pada masa yang sama, mereka turut mengalami gangguan personaliti termasuk masalah perhubungan interpersonal selain ketidakupayaan untuk mengawal emosi yang keterlaluan.
Seterusnya, adakalanya penagih akan mendengar suara-suara yang menyuruh mereka untuk melakukan sesuatu. Contohnya suara itu mengarah untuk membunuh orang yang disayangi dan alasannya, orang yang mereka sayangi itu mahu membunuh mereka. Pengambilan dadah juga meningkatkan bahan kimia yang bernama “dopamin” di dalam otak. Apabila “dopamin” terlalu tinggi, kita akan berasa keseronokan yang luar biasa.
Buku ini adalah koleksi MTN (Malay Teenage Non-Fiction) di PPT Library@UTC. Buku ini sesuai untuk bacaan umum kerana gaya penulisan yang mudah difahami dan memberi banyak info khususnya implikasi negatif pengaruh dadah kepada kehidupan manusia. Justeru, anak muda pada masa ini dinasihatkan agar menjauhi pengambilan dadah dan mengamalkan gaya hidup yang sihat agar memperolehi kehidupan cerah dan harmoni pada masa depan. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku ini, anda bolehlah hubungi kami di Perpustakaan PPT Library@UTC di talian 088-235761/2 atau mana-mana perpustakaan yang berdekatan dengan anda. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Bettlieynna Wakilin, Perpustakaan Desa Kampung Perancangan, Ranau
Dalam era dunia dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi ini, hampir setiap hari kita diperkenalkan dengan teknologi baharu. Selagi jam terus berdetik selagi itulah sains dan teknologi akan terus berkembang dan pada masa yang sama akan menghasilkan inovasi-inovasi baharu dalam pelbagai bidang. Inovasi merupakan suatu cetusan idea atau kaedah baharu dalam menghasilkan produk yang lebih canggih dari sebelumnya. Inovasi juga membawa maksud sebagai kebolehan untuk mencipta kemahiran dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan peluang meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Inovasi lahir daripada kreativiti manusia yang tidak pernah jemu dalam mencipta penemuan baharu yang lebih inovatif serta bermanfaat kepada kehidupan. Kebolehan dalam mencipta sesuatu yang baharu membawa kepada inovasi masa kini. Ketika melihat kepada kemajuan hasil inovasi sudah pasti ada penciptanya. Terdapat beberapa tokoh pencetus kepada ledakan inovasi yang mana hasil inovasi ciptanya masih dinikmati malahan menjadi keperluan penting dalam kehidupan pada masa ini.
Buku yang bertajuk “Tokoh-Tokoh Pencipta Inovasi” hasil karya Noor Azilawati Binti Mohamad Sabda ini membincangkan tentang profil hidup tokoh-tokoh pencetus inovasi yang terkenal di dunia. Buku ini merupakan siri Inovasi Memacu Gaya hidup berusaha melihat sejauh mana proses inovasi ini berjaya memanfaatkan kehidupan manusia. Buku ini memuatkan tujuh belas tokoh-tokoh terkenal pencetus inovasi.
Apa yang menarik tentang buku ini, selain membincangkan tokoh-tokoh pencipta inovasi dari Barat mahupun Asia, turut membincangkan sumbangan ilmuwan Islam dalam peradaban dan tamadun manusia yang telah melakukan inovasi yang meningkatkan kemajuan dan peradaban kehidupan. Buku ini menggunakan pengolahan bahasa yang mudah difahami, terdapat gambar berkaitan, glosari dan latihan menguji kefahaman.
Buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutamanya bagi para pelajar bagi mengetahui dan mengenali tokoh-tokoh pencetus inovasi. Sudah pasti ada di antaranya yang hanya menyebut hasil inovasi ciptaan sahaja sudah tahu siapa penciptanya tetapi tidak tahu secara mendalam profil lengkapnya. Disamping itu juga, diharapkan agar dapat merangsang minat melakukan reka cipta lebih inovatif terutamanya dalam kalangan pelajar dengan mengambil tokoh-tokoh pencetus inovasi sebagai sumber inspirasi.
Inovasi memacu gaya hidup lebih bermakna, bersifat kontemporari serta menepati cita rasa terkini. Dalam mengejar perubahan dan mengikuti peredaran semasa untuk mencapai kemajuan dalam dunia yang tiada bersempadan ini, haruslah bijak mengkaji dan mengaplikasikan segala kecanggihan untuk memperkembang potensi insani. Sesungguhnya, sains, teknologi dan inovasi mampu menjana ke arah melahirkan generasi berkualiti, optimis serta memiliki pencapaian rohani dan jasmani yang seimbang bagi memacu kecemerlangan negara ke peringkat yang lebih tinggi.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Perancangan Ranau. Untuk tempahan dan pinjaman, sila berkunjung ke perpustakaan yang terdekat atau layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my dan hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Elvena Lee, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang
Biarpun ungkapan wang bukan segala-galanya sering dimadahkan, hakikatnya kesejahteraan individu bergantung rapat dengan kestabilan kehidupan. Kestabilan hidup pula bergantung kepada perkara asas seperti makanan, tempat tinggal, pekerjaan dan kemampuan menyara hidup sehari-hari. Sehingga kini, masyarakat kita masih mengalami kekurangan wang akibat kos sara hidup yang tinggi. Oleh itu, kita harus bijak dalam pengurusan wang dan dalam perbelanjaan barang.
Buku ini memberi sedikit tips bagaimana mengurus wang dengan betul. Salah satu cara terbaik untuk menjimatkan wang dan menguruskan kewangan adalah dengan mencatatkan setiap perbelanjaan bulanan dalam satu buku catatan supaya kita dapat mengenal pasti ke mana wang itu dibelanjakan. Pastikan kita tahu akan pola perbelanjaan yang betul iaitu asas-asas rumah, kenderaan, makanan, pakaian dan ubat adalah keutamaan. Kemudian perlindungan insurans nyawa dan kesihatan. Seterusnya, simpanan dan pelaburan dan yang tidak menjadi kepentingan adalah hiburan. Sentiasa elak daripada perbelanjaan menurut gerak hati. Terdapat beberapa panduan menjimatkan wang contohnya menyimpan wang di bank kerana ia akan mendapat faedah dari wang simpanan. Selain itu, amalkan tabiat membayar tunai untuk setiap pembelian dan membeli ketika jualan murah.
Tabiat perbelanjaan yang bijak dapat membantu kita dalam mengurus wang dengan baik. Contohnya, semasa membeli-belah pastikan anda melakukannya dengan cepat dengan tidak menghabiskan banyak masa di pusat membeli-belah, sentiasa membandingkan harga dan jangan mudah percaya dengan promosi jualan murah. Selain itu, bawa satu senarai barangan yang perlu dibeli sahaja dan sentiasa bertanya pada diri adakah ini penting untuk saya? Kerana ia membantu kita berfikir serta menapis perkara yang tidak perlu kerana akan menghabiskan wang. Antara panduan penjimatan wang juga ialah musnahkan kad kredit yang menyumbang kepada peningkatan kos perbelanjaan, perbelanjaan sifar untuk satu hari seminggu, hentikan tabiat suka merayau-rayau di pusat membeli-belah dan amalkan tabiat berfikir dulu dan memberi masa untuk membuat keputusan sebelum membeli.
Realitinya, menyimpan wang penting untuk mendapatkan standard hidup lebih baik dan melestarikan ekonomi. Justeru, kesedaran menabung atau menyimpan wang mesti ditingkatkan dan dijadikan budaya dalam kehidupan untuk persediaan serta kesenangan pada masa depan.
Buku ini merupakan salah satu koleksi yang terdapat di Perpustakaan Cawangan Sipitang. Untuk tempahan dan pinjaman, hubungi kami di talian 087-821003. Walau bagaimanapun, sila kunjungi perpustakaan yang terdekat atau layari laman sesawang www.ssl.sabah,gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Elvena Lee, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang
Penyakit kencing manis adalah penyakit yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia pada masa ini. Ramai yang sudah mengenalinya iaitu penyakit diabetes melitus. Penyakit ini semakin meningkat di Malaysia ekoran corak pengambilan makanan harian yang tidak terkawal. Diabetes melitus terjadi apabila glukosa dalam darah melebihi aras yang normal. Namun, diabetes dapat dikawal sekiranya memahami keadaan kesihatan dan persekitaran sendiri. Oleh itu, buku ini memberi panduan tentang cara yang paling berkesan untuk mengawal penyakit diabetes ini.
Pesakit yang mengalami penyakit diabetes ini wajib untuk mengambil pemakanan yang seimbang dengan tepat untuk mengelak pertambahan berat badan. Diet merupakan salah satu cara untuk mengawal diabetes. Diet yang seimbang dapat mengawal pemakanan seharian yang memenuhi zat makanan iaitu nutrien yang diperlukan. Contohnya, pemilihan makanan yang mempunyai protein yang mengandungi lemak rendah dan elakkan makanan berlemak tepu. Selain itu, untuk pesakit diabetes juga disarankan melakukan aktiviti fizikal atau senaman selama 30 minit sebanyak 3 kali sehingga 4 kali dalam seminggu. Senaman yang dimaksudkan adalah seperti berjalan kaki, mengayuh basikal dan berenang. Senaman ini dapat mengurangkan kandungan lemak dan kolesterol di dalam darah.
Jika penyakit ini tidak dapat dikawal, pesakit digalakkan untuk membuat rawatan dan mengambil ubat yang disarankan oleh doktor. Terdapat dua jenis ubat yang digunakan di Malaysia iaitu Sulfonylurea yang membantu merangsangkan pankreas untuk meningkatkan keberkesanan tindakan insulin. Manakala ubat kedua adalah Metformin yang membantu meningkatkan keberkesanan insulin serta menurunkan berat badan. Untuk mengelak daripada menghidap penyakit ini, seseorang individu haruslah mengurangkan kekerapan atau saiz hidangan makanan yang cepat menaikkan aras glukosa darah seperti susu pekat manis, gula, roti canai dan lain-lain makanan yang berlemak.
Kesimpulannya, pengarang buku ini menggunakan gaya penulisan yang bersahaja, mudah untuk difahami dan sesuai untuk bacaan umum. Melalui buku ini, kita dapat pelajari bahawa menjalani kehidupan yang sihat bukan sahaja daripada mengamalkan pemakanan yang sihat tetapi kita juga harus melakukan aktiviti dan senaman yang betul. Bak kata pepatah, badan sihat otak cergas. Semoga pembaca akan mendapat banyak manfaat daripada buku ini.
Buku ini merupakan salah satu koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sipitang. Untuk tempahan dan pinjaman, hubungi kami di talian 087-821003 atau hubungi perpustakaan yang terdekat. Selain itu, sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian ini 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Siti Sahara Binti Hamid, PPT Library@UTC
Pengkomposan merupakan kaedah semula jadi yang efektif bagi mengurus dan mengawal sisa buangan terutamanya makanan dan hasil pertanian di Malaysia. Kaedah ini telah dipraktikkan dengan berkesan di bandar mahupun luar bandar oleh isi rumah secara individu ataupun kawasan setempat. Di Sabah misalnya, kaedah pengkomposan telah diperkenalkan ke daerah-daerah melalui kempen kebersihan dengan kerjasama daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kempen ini dilihat mampu memberi input kesedaran dan ilmu berkaitan pengkomposan yang mapan serta dapat menghasilkan baja yang berkualiti.
Pengkomposan kebiasaannya boleh dilakukan dengan menggunakan mikroorganisma tertentu seperti cacing ataupun larva black soldier fly (BSF) untuk tujuan proses penguraian biologi bahan organik kepada bahan yang tinggi nutrien (baja). Untuk menghasilkan baja yang stabil dan matang serta mampu memberikan kualiti terhadap tumbesaran tumbuhan, faktor-faktor penting yang mempengaruhi serta kaedah pengkomposan dalam penguraian substrat (sisa) perlu dititikberatkan.
Dalam pengkomposan, terdapat beberapa faktor penting yang menjadi kayu ukur dalam menghasilkan baja yang berkualiti. Oleh sebab pengkomposan melibatkan proses mikrob, maka kadar pengkomposan dipengaruhi oleh aktiviti mikrob yang mana pengaruh saiz bahan, nisbah C/N, kandungan kelembapan, suhu dan pengudaraan merupakan antara faktor yang perlu dikawal.
Terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan untuk menjalankan pengkomposan menggunakan mikroorganisma. Pengkomposan mudah yang boleh dilakukan menggunakan bahan buangan rumah adalah melalui pengkomposan tong gelen. Untuk pengkomposan yang lebih banyak dan teratur, pengkomposan secara timbunan boleh dilakukan yang mana melalui kaedah timbunan statik.
Pengkomposan berasaskan cacing (vermicomposting) merupakan suatu proses bioteknologi mudah untuk menukarkan bahan organik kepada bahan seperti humus (vermikompos) yang menggunakan cacing tanah tertentu untuk membantu dalam proses penstabilan sisi organik. Ia merupakan proses mesofilik dimana interaksi simbiotik mikrob dan cacing tanah berlaku pada suhu 10C-32C. Cacing tanah bertindak menyediakan substrat dengan mengubah aktiviti biologi substrat melalui pencernaan sebelum proses penguraian biokimia bahan organik diambil alih oleh mikroorganisma.
Kandungan lembapan yang sesuai juga diperlukan untuk cacing tanah. Hal ini demikian, kandungan tong digunakan untuk mengkompos harus berada dalam keadaan lembap dan tidak berair. Untuk mengelakkan tong daripada kering, jerami boleh diletakkan sebagai pelindung ketika cuaca yang panas. Cacing tanah akan berada pada tanah yang mengandungi kelembapan antara 12%-30%. Jika kandungan kelembapan adalah rendah, cacing tanah akan kehilangan kandungan air dalam badan yang akhirnya boleh menyebabkan cacing mati.
Suhu yang sesuai untuk mendapatkan hasil yang optimum adalah dalam 20C-30C. Cacing tanah boleh hidup dalam suhu yang rendah dan suhu sehingga 48C. Apabila suhu mencecah 10C, jumlah makanan yang dimakan oleh cacing tanah akan menurun. Cacing akan menjadi kurang aktif dan akan bergerak ke lapisan bawah pembatasan. Walaupun cacing tanah merah boleh hidup dalam suhu sekitar 40C-8C, tetapi suhu optimum untuk membiak dan memproses sisa makanan adalah dalam lingkungan 20C. Oleh itu, suhu yang sesuai untuk proses perosotan adalah 18-25C.
Cacing tanah juga memerlukan udara untuk bernafas melalui oksigen yang tersedia dan menukarkannya kepada karbon dioksida atau gas-gas buangan yang lain. Kekurangan oksigen boleh menyebabkan haba meningkat. Pengudaraan perlu dikawal supaya cacing tanah dapat membesar dan membiak dengan baik. Buku ini menghimpunkan pakar pengkomposan daripada pelbagai universiti, sekolah dan industri. Teknik dan inovasi pengkomposan terkini dipaparkan dalam buku ini diharapkan boleh menjadi panduan berguna kepada individu dan komuniti yang berminat dalam mengoperasikan proses pengkomposan sama ada dalam skala kecil atau besar.
Buku ini adalah koleksi MAN (Malay Adult Non-Fiction) di PPT Library@UTC. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut, sila hubungi kami di Perpustakaan PPT Library@UTC di talian 088-235761/2 atau mana-mana perpustakaan yang berdekatan untuk proses peminjaman. Layari laman sesawang kami di www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Nurulizzah Hidayah Binti Musa, Perpustkaan Desa Kg. Lingkungan, Beaufort
Ubi keledek merupakan salah satu komoditi tanaman kontan yang sesuai untuk diperkembangkan. Jika harga di pasaran adalah tinggi, ia mampu memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding dengan tanaman padi. Hasil yang diperoleh oleh petani boleh ditingkatkan jika petani mampu menghasilkan ubi keledek yang berkualiti dalam kuantiti yang banyak, mampu menganggarkan hasil penuaian dengan tepat dan dapat memasarkan ke pasaran dalam jumlah yang tinggi.
Pengenalan kepada teknik penanaman yang sesuai dapat menarik minat para petani untuk mengusahakan penanaman ini secara serius dan bukan sekadar bergantung kepada musim tertentu sahaja. Sebagai contoh, para petani tidak perlu terus bergantung kepada usaha penanaman secara bergilir sebaliknya boleh menanam ubi keledek sepanjang tahun tanpa menjejaskan kualitinya. Peluang meningkatkan pengeluaran dan produktiviti ubi keledek ini akan lebih tinggi sekiranya teknik penanaman disesuaikan dengan beberapa klon ubi keledek yang bermutu tinggi. Misalnya, pengenalan ubi keledek ‘gendut’ yang amat sesuai ditanam di kawasan tanah galian dan gambut yang mempunyai infrastruktur saliran yang baik. Hasil tanaman sebanyak 20 sehingga 30 tan per hektar boleh dipungut dalam jangka masa 4 bulan sahaja selepas ditanam dengan ciri-ciri kulitnya berwarna perang kekuningan, licin dan isi ubi berwarna kuning yang sesuai untuk dieksport.
Untuk penanaman keledek, dua elemen ini amat penting dan perlu dipenuhi. Ia memerlukan kawasan yang mempunyai suhu 24 hingga 32 darjah celsius dan taburan hujan antara 750 hingga 1000 mm dalam setahun. Suhu udara ini dipengaruhi oleh ketinggian kawasan tersebut. Setiap kenaikan 100 meter ketinggian tempat, suhu udara akan turun sebanyak 1 darjah celsius. Suhu udara di permukaan laut mempunyai sekitar 28 darjah celsius dan di dataran tinggi pula sekitar 18 darjah celsius (1000 meter di paras laut).
Untuk mendapatkan hasil tanaman yang baik dan menggandakan pengeluaran, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Antara syarat-syaratnya ialah memeriksa keadaan tanah sama ada berada dalam keadaan subur atau sebaliknya, ketersediaan air yang mencukupi serta dapat menghadkan serangan serangga perosak atau gangguan penyakit yang keterlaluan. Ubi keledek sesuai dalam semua keadaan tanah. walau bagaimanapun, tanah loam berpasir adalah paling sesuai. Tanah yang lebih berat boleh digunakan tetapi perlu dibajak dan dibuat batas dengan sempurna untuk memberikan saliran yang baik. Penanaman di atas batas juga memudahkan penuaian ubi keledek. Secara amnya, ubi keledek tidak sepatutnya ditanam di tanah yang telah ditanam dengan tanaman ubi lain sebelumnya. Namun, penanaman berterusan boleh diamalkan sekiranya tiada serangan penyakit, perosak dan nematod (cacing perosak tanaman) yang serius.
Buku ini sesuai untuk bacaan umum dan banyak memberi panduan, teknik dan penjagaan sekiranya mengusahakan penanaman ubi keledek. Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Lingkungan, Beaufort. Sekiranya berminat untuk meminjam buku ini sila berkunjung ke Perpustakaan Desa Kampung Lingkungan, Beaufort atau hubungi perpustakaan yang terdekat. Selain itu, sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian ini 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Rohani Tahir, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu
Bak cendawan tumbuh selepas hujan, begitu juga dengan munculnya produk kesihatan, kecantikan dan sebagainya yang dikatakan berkhasiat dan berkesan. Walau bagimanapun, kita juga sering mendengar dan dikejutkan dengan berita tentang produk-produk kosmetik dan kecantikan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mempunyai bahan kimia yang berlebihan dan tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Buku bertajuk Bani Produk Sampah ini menceritakan tentang lambakan produk-produk di pasaran yang kononnya boleh merawat, mencantikkan dan sebagainya untuk memikat hati para pelanggan. Namun begitu, kenapa dilabelkan sebagai produk sampah? Produk sampah disinonimkan kepada produk-produk yang tidak berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi produk kesihatan dan produk yang menjanjikan kesembuhan untuk pelbagai penyakit (overclaim).
Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Justeru, kemunculan produk kecantikan yang didakwa boleh meramping, memutih dan mencantikkan kulit pastinya mendapat perhatian dan sambutan luar biasa dari para pengguna wanita. Saban waktu ada sahaja produk baharu dengan pelbagai jenama yang muncul. Namun sedarkah pengguna tentang keselamatan produk itu atau hanya menggunakannya tanpa memikirkan risiko yang membahayakan diri sendiri.
Sebagai pengguna, kita perlu berhati-hati dengan barangan yang ingin dibeli dan digunakan, terutamanya yang melibatkan barangan penjagaan diri seperti kosmetik dan makanan kesihatan atau ‘supplement’. Jangan kerana terpengaruh dengan iklan, kita sanggup membeli produk tersebut yang belum dikenal pasti kesahihannya tanpa memikirkan kesan sampingan di kemudian hari. Para pengguna juga perlulah membuat penyelidikan dan mengenal pasti kesahihan sesuatu produk terlebih dahulu sebelum menggunakannya.
Buku ini memberitahu cara mengenali produk sampah, perincian dan maksud nombor ‘MAL’ pada produk kesihatan dan maksud nombor ‘NOT’ pada produk kosmetik. Produk yang berdaftar dengan KKM akan mempunyai nombor ‘MAL’ dan produk ini hanya untuk menjaga kesihatan secara am sahaja dan tidak dapat merawat pelbagai penyakit sementara nombor ‘NOT’ pada kosmetik pula tidak mempunyai kelulusan KKM seperti yang dibanggakan oleh pengasas produk.
Buku ini sangat disarankan kepada setiap orang agar tidak mudah terjerat dengan produk sampah. Para ibu bapa juga dijemput untuk membaca buku ini agar tidak membuat kesilapan seperti memberi pelbagai produk yang tidak mempunyai kelulusan KKM kepada anak-anak mereka. Kesimpulannya, buku ini sangat bermanfaat kepada semua orang untuk mendapatkan panduan dan pengetahuan tentang sesuatu produk sebelum menggunakannya.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu dan boleh dipinjam. No. kelas : MAN 363.196 RUS. Lokasi : Rak Buku Bukan Fiksyen (Bahasa Melayu), Ruang Bacaan Dewasa, Aras 1. Sebarang pertanyaan, sila berjumpa dengan kakitangan yang bertugas di Kaunter Seksyen Perkhidmatan Pembaca, PNS Cawangan Lahad Datu atau hubungi talian 089-880276. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my dan hubungi perpustakaan yang terdekat atau hubungi talian ini 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Rayjelyn Binti Etin @ Robert, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Lahad Datu
Komunikasi yang berkesan di tempat kerja haruslah mempunyai sifat yang terbuka dan jujur dengan pekerja dan rakan kerja kerana itu tidak akan merugikan. Intipati komunikasi profesional adalah asas proses dalaman dan budaya yang menentukan cara kerja serta menjalani hubungan sesama manusia. Terokai kepentingan komunikasi di tempat kerja serta beberapa strategi terbaik untuk komunikasi di tempat kerja sama ada dalam syarikat atau organisasi kerajaan atau swasta. Komunikasi bukan sahaja melibatkan anda dengan majikan, ketua dan rakan, tetapi juga melibatkan anda dengan orang ramai, atau pelanggan. Kemahiran komunikasi menggambarkan imej diri dan organisasi.
Mengapakah komunikasi yang berkesan di tempat kerja penting? Komunikasi melibatkan proses mengongsi maklumat atau menyediakan bahan melalui pergaulan, pertuturan, penulisan atau penyelidikan. Komunikasi di tempat kerja yang berkesan adalah salah satu kunci kepada kejayaan jangka panjang perniagaan anda, membantu meningkatkan produktiviti dan mengekalkan hubungan kerja yang kukuh di seluruh organisasi anda.
Di tempat kerja yang semakin moden ini, pertemuan secara bersemuka kadang-kadang diketepikan kerana alat komunikasi seperti telefon bimbit dan e-mel menjadi kemudahan perbualan yang utama. Walau bagaimanapun, anda tidak boleh membiarkan komunikasi secara bersemuka ini ketinggalan zaman. Jika anda perlu menyampaikan maklumat secara terperinci, pertemuan secara bersemuka adalah penting, manakala bertemu pasukan anda secara individu atau sekurang-kurangnya melalui panggilan Zoom Meeting membolehkan anda melihat bahasa badan dan ekspresi wajah, sehingga anda dapat memahami sepenuhnya kelancaran anda menyampaikan maklumat.
Komunikasi secara profesional juga memainkan peranan penting kerana hampir semua aspek perniagaan secara maya boleh menguasai komunikasi yang berkesan di tempat kerja untuk membantu meningkatkan kecekapan, produktiviti, dan inovasi.
Buku ini dihasilkan agar mampu menambah keberkesanan komunikasi pekerja dalam dunia kerja, sama ada tugas berupa khidmat pelanggan di kaunter dan dalam telefon. Selain itu, penulisan dokumen memberi panduan kepada para pembaca agar meningkatkan kemahiran komunikasi melalui penulisan memo, surat, laporan dan minit mesyuarat. Kandungan buku ini juga membantu mengembangkan kemahiran pembaca mengendalikan pelbagai maklumat supaya dapat menguasai, menilai dan menyusun maklumat serta menyampaikannya secara berkesan apabila dikehendaki oleh organisasi atau masyarakat.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah (PNS), Cawangan Lahad Datu dan boleh dipinjam. No kelas: MAN 658.45 SUL, lokasi di Sudut Ulasan Buku, Ruang Bacaan Dewasa, Aras 1. Sebarang pertanyaan, sila berhubung dengan kakitangan yang bertugas di Kaunter Seksyen Perkhidmatan Pembaca, PNS Cawangan Lahad Datu atau hubungi talian 089-880276. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Feterin Masindon, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Matunggong
Buku ini ditulis oleh Bahrin Samah RH (AHG), beliau pernah menerima tauliah sebagai herbalis profesional oleh American Herbalists Guild pada April 2008 dan merupakan herbalis Asia pertama yang menerima tauliah tersebut. Pengalamannya dalam bidang ini dibukukan untuk dikongsi dan dimanfaatkan bagi kebaikan kita bersama.
Serangan jantung merupakan suatu penyakit yang tidak asing lagi sebagai pembunuh utama terutama di negara-negara maju manakala strok pula mengambil tempat ketiga termasuklah di Malaysia. Buku ini menerangkan pelbagai punca, pencegahan dan kaedah rawatan serangan jantung dari perspektif nutrisi holistik. Selain itu, buku ini juga menerangkan kaedah dan alternatif lain yang memberikan pandangan berbeza berbanding perubatan moden. Serangan jantung biasanya berlaku apabila otot jantung tidak menerima bekalan darah secukupnya. Hal ini demikian, bekalan darah akan dihantar ke otot-otot jantung oleh arteri koronari. Oleh itu, enapan lemak boleh berlaku dalam arteri atau arteri-arteri koronari dan gumpalan darah beku akan menyebabkan arteri dan kapilari tersumbat.
Punca serangan jantung adalah disebabkan kolestrol yang tinggi. Mengapa kolestrol menjadi penyebab serangan jantung? Hal ini disebabkan paras kolestrol dalam darah akan naik dan dialirkan ke dalam arteri yang seterusnya membentuk plak dan tersumbat pada dinding arteri. Selain daripada kolestrol, stress juga boleh menyebabkan otot jantung menjadi lemah kerana darah dipam dan dialirkan pada kadar dan isipadu yang rendah. Akibatnya, paras hemoglobin yang membawa oksigen ke dalam arteri akan berkurangan. Individu yang mengalami kegagalan jantung koronari akan bernafas secara tersekat-sekat dan mengalami sesak nafas. Individu yang mengalami kegagalan jantung juga biasanya dikatakan mengalami paras Endotoxin yang tinggi. Endotoxin adalah sejenis bahan beracun yang dihasilkan oleh bakteria gram-negative di dalam tubuh seperti Salmonella, Serratia dan lain-lain lagi.
Selain itu, cara pemakanan yang tidak berkhasiat dan kurang bersenam juga merupakan salah satu punca serangan jantung terjadi. Kesimpulannya, serangan jantung boleh dielakkan jika seseorang itu mengamalkan cara hidup sihat seperti berhenti merokok, mengenal pasti makanan yang sesuai untuk dimakan kerana metabolism setiap individu itu tidak sama, bersenam secara konsisten, elakkan berat badan berlebihan dan banyak lagi. Oleh itu, buku ini sesuai untuk bacaan umum agar pembaca mendapat panduan bagaimana mencegah serangan jantung kepada diri sendiri dan keluarga.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Matunggong. Jika anda berminat untuk mengetahui buku ini dengan lebih lanjut sila hubungi kakitangan yang bertugas di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Fatmawati Lapida, Perpustakaan Desa Kampung Pasir Putih, Tawau
Sejak zaman dahulu lagi perubatan tradisional sudah terkenal dan sering digunakan untuk kesejahteraan masyarakat sejagat. Sebagai contoh, negara China menggunakan ubat tradisional sebagai rawatan Covid-19 di negaranya. Tiga ubat tradisional yang dipatenkan oleh negara China ialah Lianhuaqingwen, Jinhua qinggan, dan Xuebijing. Negara China juga menyatakan bahawa penggunaan ubat tradisional dapat meringankan beban para perawat. Selain itu, negara China mendakwa ketiga-tiga ubat itu berkesan untuk mengurangkan gejala Covid-19 seperti demam, batuk, keletihan dan membantu pesakit daripada mengalami keadaan yang lebih teruk.
Buku ini tidak mempunyai bab tetapi ia menceritakan bagaimana ubat-ubat tradisional dari pelbagai cara dan negara dapat meredakan gejala atau penyakit dari virus Covid-19. Kajian bertajuk “Penggunaan ubat herba untuk merawat Covid-19” menjelaskan bahawa tanpa melalui ujian klinikal, ubat-ubatan herba pada pesakit berpotensi untuk merawat pesakit yang dijangkiti virus Covid-19. Seterusnya, buku ini turut menghuraikan falsafah perubatan Melayu menurut Syeikh Ahmad Al-Fatani dan mengenai dasar perubatan tradisional dan komplementari kebangsaan.
Ramai pakar perubatan moden mengakui bahawa perubatan tradisional ini memang tidak dapat dipisahkan daripada perubatan moden kerana perubatan ini bersifat budaya setempat, diwarisi dari satu ke satu generasi dan mengikut peredaran zaman dan pembangunan sesebuah negara. Demikian juga, perubatan tradisional Melayu masih mengamalkan rawatan tersebut yang telah diturunkan dari zaman nenek moyang lagi.
Selain itu, falsafah perubatan Melayu menurut Syeikh Ahmad Al-Fatani menyatakan ilmu perubatan itu terbahagi kepada dua perkara penting iaitu untuk memelihara kesihatan yang sedia ada dan juga merawat tubuh yang sedang mengalami kesakitan agar keseimbangan badan dapat dikembalikan semula.
Dasar perubatan tradisional dan komplementari kebangsaan sedekad yang lalu telah memberi sumbangan penting dalam penjagaan kesihatan manusia. Badan pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang diiktiraf harus menguatkuasakan kod etika dan amalan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta mematuhi standard dan kriteria amalan berdasarkan penilaian rakyat sejawat (peer evaluation). Walaupun perubatan tradisional dan komplementari amat bermanfaat namun tidak selalunya disokong oleh bukti saintifik. Oleh yang demikian, penyelidikan saintifik diperlukan untuk menyediakan bukti keselamatan dan keberkesanan produk.
Tuntasnya, objektif buku ini adalah sebagai panduan bagi semua golongan masyarakat untuk mengetahui dan mengenal perubatan tradisional dari negara lain. Buku ini juga sesuai untuk bacaan umum dan semoga dapat memberi manfaat khususnya kepada pelajar, ibu bapa, pendidik dan golongan profesional.
Buku ini adalah koleksi buku yang terdapat di Perpustakaan Desa Kampung Pasir Putih, Tawau. Untuk mengetahui lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini dan isi kandungannya, sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Rofli Bin Roslan, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna
Buku ini ditulis untuk berkongsi tentang kisah nyata perjalanan hidup dan pengalaman dari seorang hamba allah yang daif yang tidak pernah luput dari dosa, khilaf dan kesalahan. Hidup ini memang penuh warna-warni, penuh dengan suka dan duka, kesedihan dan kebahagiaan, penderitaan dan kesenangan serta kebaikan dan kejahatan yang sentiasa memberi erti dalam kehidupan manusia. Bukan hal yang mudah bagi seseorang untuk mengungkap kembali lembaran kelam masa lalunya. Apalagi untuk berkongsi kisah benar perjalanan hidup ke dalam sebuah buku yang kelak akan menjadi bacaan umum. Sesiapa saja berhak untuk membaca dan untuk mengetahui kisah seorang hamba allah yang daif ini.
kisah dan penceritaan yang telah dibukukan ini memerlukan sebuah jiwa yang besar dan kerelaan menanggung malu. Namun, demi teladan dan hikmah yang dipetik dari pengalaman kisah hidup seorang bekas penagih dan pengedar dadah ini akan dapat memberi kesedaran kepada para pembaca agar tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan. Jangan pernah berfikir untuk sekadar mencuba sekali atau dua kali kerana sukar untuk melepaskan diri setelah terjebak kepada najis dadah ini. Oleh itu, jauhi diri daripada terjebak kepada najis dadah demi kebaikan diri sendiri dan keluarga.
Justeru, keluarga adalah sumber kekuatan dan penyuntik semangat kepada bekas penagih dan pengedar dadah untuk memberi sokongan positif dan membantu mereka sehingga berjaya melepaskan diri dari kancah dadah ini. Buku ini sesuai untuk bacaan umum terutamanya remaja, ibu bapa dan pendidik. Semoga buku ini dapat memberi manfaat kepada semua pembaca.
Buku ini adalah koleksi di Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna. Untuk mengetahui lebih lanjut dan berminat tentang buku ini boleh berhubung secara langsung dengan kakitangan yang bertugas untuk tempahan pinjaman. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Semporna atau Kota kinabalu. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Mohamad Riad bin Salim, Pelajar praktikal Perpustakaan Negeri Sabah, Kota Kinabalu
Buku bertajuk "The Sewing Book" oleh Alison Smith ialah sebuah buku panduan yang terkenal dalam bidang jahitan dan sering dianggap sebagai panduan yang lengkap bagi seseorang yang baru ingin bermula untuk belajar menjahit dan mereka yang sudah berpengalaman dalam menjahit. Buku ini merangkumi pelbagai topik berkaitan dengan jahitan, termasuk teknik jahitan, pembuatan pakaian, pemilihan fabrik atau jenis kain, teknik mencorak, dan pengubahsuaian. Ia juga mengandungi petunjuk iaitu langkah demi langkah dan ilustrasi untuk membantu pembaca memahami dan mengaplikasikan konsep-konsep yang dibincangkan dalam buku ini. Buku ini sesuai dicadangkan kepada mereka yang ingin belajar atau meningkatkan kemahiran menjahit mereka.
Salah satu aspek yang istimewa mengenai buku ini adalah penyampaian ilmu yang sangat terperinci dan tersusun dengan baik. Pengarang memberikan penjelasan yang jelas dan mudah diikuti tentang pelbagai teknik menjahit, termasuk menjahit tangan dan menggunakan mesin jahit. Pengarang juga memberikan nasihat tentang bagaimana memilih fabrik yang sesuai untuk projek jahitan tertentu dan memberikan panduan yang berguna terutamanya dalam proses memotong dan menyusun atur corak.
Satu kelebihan utama "The Sewing Book" adalah bahawa buku ini mempunyai ilmu yang menyeluruh tentang pelbagai jenis jahitan dan teknik, dari yang paling asas hingga yang lebih kompleks. Ini menjadikannya sumber rujukan yang hebat bagi pengguna yang ingin meneroka pelbagai gaya jahitan dan memperluas kemahiran mereka dalam menjahit. Dengan buku ini, pembaca dapat belajar membuat pakaian, aksesori, dan projek-projek kreatif lain dengan keyakinan dan berkualiti tinggi.
Selain itu, buku ini juga dilengkapi dengan gambar dan ilustrasi berwarna yang menarik. Gambar yang berwarna-warni dan menarik membuatkan buku ini lebih istimewa dan mengundang anda untuk terus meneroka. Ini juga memudahkan pemahaman konsep dan teknik jahitan yang sukar. Pengarang juga memberikan tips yang berguna dan petua-petua praktikal yang dapat membantu pembaca menghadapi cabaran dan masalah khas semasa menjahit. Antara petua yang disebutkan adalah bahagian lengan harus sentiasa digantung dengan betul dari hujung bahu baju untuk mengelak daripada kedutan.
Tambahan pula, buku ini juga memberikan pengetahuan yang kaya tentang sejarah menjahit dan gaya jahitan yang berbeza. Selain itu, pengarang juga mengikuti pengaruh budaya dan tren semasa dalam dunia menjahit, memberikan paparan dan idea yang menarik tentang bagaimana dunia fesyen telah berkembang seiring waktu. Sekiranya anda ingin atau pun telah berkecimpung dalam bidang perniagaan, mengikuti tren membolehkan anda memenuhi permintaan pasaran dengan menyediakan pakaian atau jahitan yang sejajar dengan keinginan dan keperluan pelanggan. Ini dapat membantu anda menarik lebih banyak pelanggan dan memperluaskan pangkalan pelanggan anda.
Satu-satunya kelemahan buku ini mungkin terletak pada penjelasan yang agak terperinci dalam beberapa bahagian. Ini mungkin terdapat sedikit rumit bagi penjahit yang belum memiliki pengalaman asas dalam menjahit. Selain itu, akan menyebabkan mereka merasa bosan dan sukar untuk membaca buku dengan tulisan teks yang kecil dan berkemungkinan akan memudarkan semangat mereka untuk belajar menjahit. Namun, bagi mereka yang sudah mempunyai pengetahuan asas, buku ini akan menjadi sumber yang sangat berharga.
Secara keseluruhannya, "The Sewing Book" oleh Alison Smith adalah panduan jahitan yang luas dan terperinci. Buku ini sesuai untuk semua peringkat umur dan tidak mengira pengalaman, dari yang baru ingin bermula untuk belajar hinggalah kepada mereka yang sudah menjahit sekian lama. Jika anda ingin mengembangkan ilmu kemahiran menjahit anda dengan cara ingin meneroka pelbagai teknik jahitan, atau mencari inspirasi untuk projek jahitan yang kreatif, buku ini adalah pilihan yang sangat baik. Melalui buku ini, pengarang membantu membawa dunia jahitan ke dalam genggaman tangan anda, memberikan pengetahuan dan panduan yang penting bagi sesiapa sahaja yang ingin mengejar minat mereka atau menjadikan bidang jahitan sebagai kerjaya mereka.
Buku ini adalah buku rujukan yang terdapat di Ibu Pejabat, Perpustakaan Negeri Sabah. Buku ini menarik untuk dibaca dan bermanfaat untuk dipelajari pada masa lapang terutamanya kepada mereka yang selalu mempunyai masa terluang. Untuk mengetahui lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini dan isi kandungannya, anda boleh datang ke Perpustakaan Negeri Sabah bertempat di Beg Berkunci 2023, Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Luyang, Kota Kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Fatmawati Lapida, Perpustakaan Desa Kg.Pasir Putih Tawau
Fenomena alam ini selalu terjadi dengan cara yang menakjubkan. Kejadian empat musim merujuk kepada fenomena alam yang berlaku kesan daripada peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbitnya yang tersendiri. Empat musim yang menyebabkan beberapa perubahan fizikal di permukaan bumi, iaitu semasa berlakunya Ekuinoks musim bunga, Solstis musim panas, Ekuinoks musim luruh dan Solstis musim sejuk. Untuk menentukan jenis iklim, data-data cuaca telah dikumpul selama beberapa tahun.
Buku ini mengandungi empat bab yang menghuraikan topik iklim yang ada di bumi. Antaranya adalah sains dan iklim, bentuk muka bumi, haiwan artik dan tumbuh-tumbuhan semula jadi. Dalam setiap bab, penulis telah memberi huraian yang lengkap mengenai empat iklim yang boleh kita perolehi di dalam buku ini.
Bab satu menghuraikan jenis iklim empat musim. Terutamanya kawasan yang kedudukannya hampir dengan Kutub Utara dan Kutub Selatan. Musim bunga selalunya berlaku di zon sederhana, ia merupakan musim peralihan dari musim panas. Selain itu, musim luruh adalah musim dimana tumbuh-tumbuhan akan mula menggugurkan daun-daunnya. Musim luruh merupakan musim peralihan dari musim panas ke musim sejuk. Seterusnya, musim sejuk kebiasaannya tiba pada bulan Disember di hemisfera utara dan akan berterusan sehingga awal Mac kadangkala berlarutan sehingga bulan April. Pada musim sejuk, orang ramai akan ke kawasan tinggi untuk bercuti dan bermain ski. Akhir sekali, pada musim panas matahari memancar agak terik dengan suhu yang tinggi dan waktu siang lebih panjang berbanding waktu malam. Selalunya ramai orang akan menghabiskan masa bersiar-siar di pantai pada musim panas.
Bab kedua tentang bentuk muka bumi yang sentiasa berputar di paksinya yang bermula dari Kutub Utara ke arah Kutub Selatan secara condong ke arah matahari. Kecondongan paksinya menyebabkan berlakunya iklim empat musim dalam setahun dan setiap pusingan mengambil masa selama 24 jam. Garisan Khatulistiwa pula berada di tengah-tengah antara Kutub Utara dan Kutub Selatan. Iklim empat musim biasanya berlaku di pertengahan garisan lintang dan tidak berlaku di kawasan tropika kerana matahari sentiasa berada tinggi di atas langit. Seterusnya, bumi terdiri daripada lima garisan utama iaitu garisan Artik, garisan Antartik, garisan Sartan, garisan Jadi dan garisan Khatulistiwa. Selain itu, cuaca dan iklim terbahagi kepada tiga jenis iaitu zon sejuk, zon sederhana dan zon panas.
Bab ketiga mengenai haiwan Artik yang bertukar warna bulu badan bertujuan untuk menyamar apabila tibanya musim sejuk. Terutamanya haiwan yang menjadi mangsa dalam rantaian makanan bagi habitat di kawasan Artik. Penyamaran ini menyebabkan ia tidak dapat dilihat dengan jelas oleh pemangsa dan mangsanya. Lautan Artik pula meliputi hidupan seperti tumbuh-tumbuhan tundra Kutub Utara, rumput rumpai, herba-herba dan sebagainya.
Bab keempat pula menghuraikan tumbuh-tumbuhan semula jadi. Tumbuh-tumbuhan di Kutub Utara sebelum ini hanya boleh ditemukan di kawasan tundra. Ketika tibanya musim panas, air beku di permafros akan cair sehingga membentuk banyak danau dan tanah berlumpur di kawasan tundra. Kawasan di tundra adalah kawasan yang paling sejuk di dunia. Kawasan ini tidak mempunyai pohon yang ditemui di Artik dan di puncak gunung yang mana iklim sejuk berangin dan hujan adalah sedikit sahaja. Selain itu, Tundra ialah kawasan yang mana pertumbuhan pohon atau pokok terbantut kerana suhu rendah dan pertumbuhannya juga singkat.
Justeru, objektif utama buku ini diterbitkan bagi tujuan kita mengenal jenis-jenis iklim yang ada di luar negara dengan lebih mendalam. Buku ini boleh dijadikan rujukan golongan profesional, penyelidikan, pengajar mahupun pelajar. Ciri-ciri di dalam buku sangat berkesan untuk kita memahami uniknya iklim empat musim ini. Selain itu, gaya penulisan yang digunakan oleh penulis juga mudah difahami dan menarik berkaitan dengan subjek sains dan geografi sememangnya diminati ramai.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Pasir Putih, Tawau. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan terperinci mengenai buku ini sila hubungi kakitangan perpustakaan yang bertugas. Walau bagaimanapun, buku ini akan mengambil masa untuk dihantar di luar kawasan Kota kinabalu. Sila berkunjung ke Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat atau melayari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.
Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru