TOKOH-TOKOH PENCIPTA INOVASI
Penulis Terbitan |
Ulasan oleh Bettlieynna Wakilin, Perpustakaan Desa Kampung Perancangan, Ranau
Dalam era dunia dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi ini, hampir setiap hari kita diperkenalkan dengan teknologi baharu. Selagi jam terus berdetik selagi itulah sains dan teknologi akan terus berkembang dan pada masa yang sama akan menghasilkan inovasi-inovasi baharu dalam pelbagai bidang. Inovasi merupakan suatu cetusan idea atau kaedah baharu dalam menghasilkan produk yang lebih canggih dari sebelumnya. Inovasi juga membawa maksud sebagai kebolehan untuk mencipta kemahiran dalam menyelesaikan sesuatu masalah dan peluang meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Inovasi lahir daripada kreativiti manusia yang tidak pernah jemu dalam mencipta penemuan baharu yang lebih inovatif serta bermanfaat kepada kehidupan. Kebolehan dalam mencipta sesuatu yang baharu membawa kepada inovasi masa kini. Ketika melihat kepada kemajuan hasil inovasi sudah pasti ada penciptanya. Terdapat beberapa tokoh pencetus kepada ledakan inovasi yang mana hasil inovasi ciptanya masih dinikmati malahan menjadi keperluan penting dalam kehidupan pada masa ini.
Buku yang bertajuk “Tokoh-Tokoh Pencipta Inovasi” hasil karya Noor Azilawati Binti Mohamad Sabda ini membincangkan tentang profil hidup tokoh-tokoh pencetus inovasi yang terkenal di dunia. Buku ini merupakan siri Inovasi Memacu Gaya hidup berusaha melihat sejauh mana proses inovasi ini berjaya memanfaatkan kehidupan manusia. Buku ini memuatkan tujuh belas tokoh-tokoh terkenal pencetus inovasi.
Apa yang menarik tentang buku ini, selain membincangkan tokoh-tokoh pencipta inovasi dari Barat mahupun Asia, turut membincangkan sumbangan ilmuwan Islam dalam peradaban dan tamadun manusia yang telah melakukan inovasi yang meningkatkan kemajuan dan peradaban kehidupan. Buku ini menggunakan pengolahan bahasa yang mudah difahami, terdapat gambar berkaitan, glosari dan latihan menguji kefahaman.
Buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutamanya bagi para pelajar bagi mengetahui dan mengenali tokoh-tokoh pencetus inovasi. Sudah pasti ada di antaranya yang hanya menyebut hasil inovasi ciptaan sahaja sudah tahu siapa penciptanya tetapi tidak tahu secara mendalam profil lengkapnya. Disamping itu juga, diharapkan agar dapat merangsang minat melakukan reka cipta lebih inovatif terutamanya dalam kalangan pelajar dengan mengambil tokoh-tokoh pencetus inovasi sebagai sumber inspirasi.
Inovasi memacu gaya hidup lebih bermakna, bersifat kontemporari serta menepati cita rasa terkini. Dalam mengejar perubahan dan mengikuti peredaran semasa untuk mencapai kemajuan dalam dunia yang tiada bersempadan ini, haruslah bijak mengkaji dan mengaplikasikan segala kecanggihan untuk memperkembang potensi insani. Sesungguhnya, sains, teknologi dan inovasi mampu menjana ke arah melahirkan generasi berkualiti, optimis serta memiliki pencapaian rohani dan jasmani yang seimbang bagi memacu kecemerlangan negara ke peringkat yang lebih tinggi.
Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Perancangan Ranau. Untuk tempahan dan pinjaman, sila berkunjung ke perpustakaan yang terdekat atau layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my dan hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.