Select your language

MASALAH REMAJA DARIPADA KELUARGA IBU TUNGGAL

Penulis
SUFEAN HUSSIN DAN CHE ZAINON OMAR 

Terbitan
SHAH ALAM: KARISMA PUBLICATIONS SDN. BHD, 2002. 101 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Siti Alimah Binti Awang Saleh, Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sandakan

Keluarga asas ialah satu institusi sosial yang terbina hasil daripada perkahwinan lelaki dan perempuan mengikut hukum adat atau hukum agama atau undang-undang sivil. Lazimnya, dalam keluarga asas atau keluarga konjugal ada bapa, ibu dan anak-anak. Sekiranya terjadi penceraian dan perpecahan rumah tangga secara langsung akan mewujudkan keluarga ibu tunggal. Hal ini secara tidak langsung akan memberi impak dan kesan kepada tingkah laku anak-anak disebabkan kekurangan kasih sayang dari seorang bapa.

Keluarga ibu tunggal atau single mother's family sering dipersepsikan oleh masyarakat sebagai keluarga berisiko (at risk family), atau keluarga tidak fungsional (dysfunctional family), atau keluarga pincang (disadvantaged family). Hal ini disebabkan keluarga ibu tunggal diketuai oleh ibu sahaja, tanpa ada kekuatan dan sokongan oleh bapa yang sering dianggap umum sebagai tunggak yang menyara dan melindungi keluarga. Oleh yang demikian, anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga seperti ini menghadapi lebih banyak masalah kritikal berbanding dengan anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga biasa dengan ibu dan bapa bersama-sama membina keluarga bahagia. Namun takdir dan rencana hidup manusia mewujudkan keluarga ibu tunggal sejak zaman berzaman, iaitu keluarga jenis ini bukanlah satu fenomena baru dalam masyarakat.

Buku yang bertajuk Masalah Remaja Daripada Keluarga Ibu Tunggal ini adalah keprihatinan penulis tentang kewujudan nasib dan keadaan hidup keluarga ibu tunggal. Keprihatinan penulis sebagai pengarang dan pengkaji, berfokus kepada masalah dan keresahan anak-anak yang hidup dalam keluarga sedemikian. Peranan penulis juga memaparkan kepada masyarakat tentang masalah utama yang diharungi oleh pelajar remaja daripada keluarga ibu tunggal.

Tujuan penulis berbuat demikian bukan hendak meraih simpati tetapi hendak membina kefahaman dan kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya para guru dan kaunselor tentang masalah hidup dan masalah pendidikan remaja daripada keluarga ibu tunggal. Kefahaman itu akan melupuskan sikap negatif dan prejudis serta dapat membina strategi dan cara untuk membantu remaja untuk menjadi orang berjaya, berjasa kepada bangsa dan negara pada masa hadapan.

Buku ini begitu menarik bagi saya kerana buku ini merupakan satu monograf kajian mengenai masalah pelajar daripada keluarga ibu tunggal. Kajian yang dipaparkan dalam monograf ini telah menggunakan soal selidik dan temu ramah untuk mendapatkan data. Kajian ini berfokus kepada sebelas bidang masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar remaja (sekolah menengah) daripada keluarga ibu tunggal di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Satu implikasi penting yang terdapat dalam buku ini adalah remaja daripada keluarga ibu tunggal memerlukan bantuan kaunselor sekolah, guru-guru dan ibu mereka dalam proses penyesuaian diri di sekolah, dalam proses pembelajaran sains dan matematik dan dalam proses hubungan dalam keluarga. Konsep pembimbing rakan sebaya juga wajar diamalkan dalam proses kaunseling kerana menurut kajian, remaja mengutamakan rakan-rakan mereka bukannya guru atau ibu untuk menyelesaikan masalah mereka.

Buku ini sesuai dibaca oleh pelajar dan juga pelbagai lapisan masyarakat kerana penulisan yang ringkas, padat dan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Buku ini terdapat dalam koleksi Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Sandakan. Sekiranya berminat untuk membuat tempahan pinjaman buku boleh menghubungi talian 089-229415 atau berkunjung di Perpustakaan Negeri Sabah yang terdekat. Sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Orang yang tidak banyak membaca pasti tidak banyak tahu. Orang yang tidak banyak tahu sangat dekat dengan kebodohan. Dan kebodohan akan sangat dekat dengan kemiskinan." (Helmy Yahya).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.