Select your language

PENANAMAN UBI KELEDEK

Penulis
B. SARWONO DAN MASLINA BUJANG 

Terbitan
KUALA LUMPUR: SYNERGY MEDIA. 102 MUKA SURAT.

 Ulasan oleh Nurulizzah Hidayah Binti Musa, Perpustkaan Desa Kg. Lingkungan, Beaufort

Ubi keledek merupakan salah satu komoditi tanaman kontan yang sesuai untuk diperkembangkan. Jika harga di pasaran adalah tinggi, ia mampu memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda berbanding dengan tanaman padi. Hasil yang diperoleh oleh petani boleh ditingkatkan jika petani mampu menghasilkan ubi keledek yang berkualiti dalam kuantiti yang banyak, mampu menganggarkan hasil penuaian dengan tepat dan dapat memasarkan ke pasaran dalam jumlah yang tinggi.

Pengenalan kepada teknik penanaman yang sesuai dapat menarik minat para petani untuk mengusahakan penanaman ini secara serius dan bukan sekadar bergantung kepada musim tertentu sahaja. Sebagai contoh, para petani tidak perlu terus bergantung kepada usaha penanaman secara bergilir sebaliknya boleh menanam ubi keledek sepanjang tahun tanpa menjejaskan kualitinya. Peluang meningkatkan pengeluaran dan produktiviti ubi keledek ini akan lebih tinggi sekiranya teknik penanaman disesuaikan dengan beberapa klon ubi keledek yang bermutu tinggi. Misalnya, pengenalan ubi keledek ‘gendut’ yang amat sesuai ditanam di kawasan tanah galian dan gambut yang mempunyai infrastruktur saliran yang baik. Hasil tanaman sebanyak 20 sehingga 30 tan per hektar boleh dipungut dalam jangka masa 4 bulan sahaja selepas ditanam dengan ciri-ciri kulitnya berwarna perang kekuningan, licin dan isi ubi berwarna kuning yang sesuai untuk dieksport.

Untuk penanaman keledek, dua elemen ini amat penting dan perlu dipenuhi. Ia memerlukan kawasan yang mempunyai suhu 24 hingga 32 darjah celsius dan taburan hujan antara 750 hingga 1000 mm dalam setahun. Suhu udara ini dipengaruhi oleh ketinggian kawasan tersebut. Setiap kenaikan 100 meter ketinggian tempat, suhu udara akan turun sebanyak 1 darjah celsius. Suhu udara di permukaan laut mempunyai sekitar 28 darjah celsius dan di dataran tinggi pula sekitar 18 darjah celsius  (1000 meter di paras laut).

Untuk mendapatkan hasil tanaman yang baik dan menggandakan pengeluaran, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi. Antara syarat-syaratnya ialah memeriksa keadaan tanah sama ada berada dalam keadaan subur atau sebaliknya, ketersediaan air yang mencukupi serta dapat menghadkan serangan serangga perosak atau gangguan penyakit yang keterlaluan. Ubi keledek sesuai dalam semua keadaan tanah. walau bagaimanapun, tanah loam berpasir adalah paling sesuai. Tanah yang lebih berat boleh digunakan tetapi perlu dibajak dan dibuat batas dengan sempurna untuk memberikan saliran yang baik. Penanaman di atas batas juga memudahkan penuaian ubi keledek. Secara amnya, ubi keledek tidak sepatutnya ditanam di tanah yang telah ditanam dengan tanaman ubi lain sebelumnya. Namun, penanaman berterusan boleh diamalkan sekiranya tiada serangan penyakit, perosak dan nematod (cacing perosak tanaman) yang serius.

Buku ini sesuai untuk bacaan umum dan banyak memberi panduan, teknik dan penjagaan sekiranya mengusahakan penanaman ubi keledek. Buku ini ada di dalam koleksi Perpustakaan Desa Kampung Lingkungan, Beaufort. Sekiranya berminat untuk meminjam buku ini sila berkunjung ke Perpustakaan Desa Kampung Lingkungan, Beaufort atau hubungi perpustakaan yang terdekat.  Selain itu, sila layari laman sesawang www.ssl.sabah.gov.my atau hubungi talian ini 088-231623, 214828, 256192 untuk mengetahui ketersediaan buku ini.

Ulasan Buku

Arkib

Pengarang Tempatan Kami

Mutiara Kata

"Orang yang tidak banyak membaca pasti tidak banyak tahu. Orang yang tidak banyak tahu sangat dekat dengan kebodohan. Dan kebodohan akan sangat dekat dengan kemiskinan." (Helmy Yahya).

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.