A- A A+

Orkid

Penulis
Nor Ain Mohd Rejab

Terbitan
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 2015. 110 Muka Surat.

 

Ulasan oleh Ruhien Binti Minol, Pelatih Industri, UiTM Rembau, Cawangan Negeri Sembilan

Orkid merupakan salah satu bunga yang cantik dan unik di dunia. Ini kerana, orkid mempunyai pelbagai jenis dan spesies serta warnanya.  Dalam buku yang bertajuk “Orkid” ini penulis mencatatkan bahawa di Malaysia sahaja terdapat lebih daripada 120 genus dan 800 spesies orkid hutan/liar. Di Sabah dan Sarawak terdapat lebih kurang 2000 spesies orkid, malah kebanyakan jenis ini terkenal di pasaran antarabangsa. Orkid juga mempunyai nama tersendiri mengikut jenis dan spesiesnya. Orkid sangat sesuai untuk dijadikan sebagai tanaman hiasan dalaman ataupun luaran kerana keratannya boleh bertahan sekurang-kurangnya dalam tempoh seminggu.  

Jenis-jenis orkid ini boleh dikenal pasti dengan melihat bentuk daun, bunga dan akar serta batangnya. Menurut penulis, orkid boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu simpodial dan monopodial. Orkid simpodial boleh tumbuh di atas pokok (epifit) atau di atas tanah (terrestrial). Manakala, orkid monopodial hidup secara epifit tetapi boleh ditanam di dalam pasu atau di atas tanah yang kering. 

Dalam buku ini juga penulis menjelaskan tentang keperluan penanaman dan pertumbuhan orkid. Sebelum menanam keratan orkid, jenis orkid perlulah ditentukan terlebih dahulu untuk memastikan kesuburannya agar dapat mengeluarkan bunga yang menarik. Antara kriteria yang perlu dititik beratkan dalam pemilihan pokok orkid yang sesuai adalah sifat pertumbuhan, sifat keratan bunga dan pemilihan orkid dalam pasu. Seterusnya, kawasan penanam juga haruslah sesuai. Contohnya, di kawasan lapang, kawasan bukit dan mempunyai pengudaraan yang baik.

Selain itu, cara-cara penyediaan medium tanaman juga dikongsikan dalam buku ini. Medium tanaman yang bermutu dapat memastikan pertumbuhan pokok yang subur. Saiz medium tanaman juga boleh mempengaruhi  kesuburan tanaman. Selepas ditanam di kawasan yang telah dipilih terutamanya yang ditanam dalam pasu perlu disediakan tempat naungannya. Ini bertujuan untuk mengurangkan sinaran cahaya matahari yang terik, melindungi bunga yang sedang kembang, mengawal penyiraman anak benih dan sebagainya.

Melalui pembacaan buku ini, anda juga akan belajar tentang cara-cara penanaman orkid yang betul di atas tanah atau batas dan pasu. Ini akan membuat landskap dan halaman rumah anda kelihatan indah dan menarik. Pembiakan pokok orkid dengan cara yang mudah juga dikongsikan dalam buku ini, iaitu pembahagian pokok induk, keratan batang dan biji benih.

Akhir sekali, buku ini membincangkan tentang pengurusan dan penjagaan orkid. Antaranya adalah penyiraman, pembajaan dan pengawalan serangga dan penyakit. Penulis juga menyertakan foto-foto orkid yang berwarna-warni untuk lebih mengenali rupa bentuk dan jenis-jenis orkid tersebut.

Buku ini sangat menarik dibaca oleh semua lapisan masyarakat terutama sekali kepada yang meminati bunga orkid, seterusnya memberi panduan tentang cara penanamannya agar menjadikan halaman rumah lebih berseri.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang kandungan buku ini, sila lawati laman sesawang Perpustakaan Negeri Sabah di www.library.sabah.gov.my atau hubungi talian 088-231623, 214828 atau 256192 untuk mengetahui keberadaan buku ini. Bagaimanapun, buku-buku ini mungkin mengambil masa untuk dihantar ke perpustakaan di luar Kota Kinabalu, sila berhubung dengan perpustakaan terdekat untuk tempahan pinjaman.

Pendapat anda mengenai laman web baru?

Waktu Operasi Ibu Pejabat

Tutup Pada Cuti Umum, Kecuali Perpustakaan Tanjung Aru

088-214828, 231623 Faks: 088-270151
hq.ssl@sabah.gov.my
Jalan Tasik, Off Jalan Maktab Gaya, Locked Bag 2023, 88300 Luyang, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.